Skip to main
Logo Malaysiakini

Sumber rezeki terjejas teruk - Pemandu teksi mohon insentif khas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa persatuan teksi menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memberikan bantuan insentif khas kepada lebih 60,000 pemandu teksi yang hilang mata pencarian akibat wabak Covid-19.

Ini kerana kaitan rangkaian ekonomi antara perkhidmatan teksi dan industri pelancongan yang terjejas teruk di seluruh dunia.

Hasil tinjauan Malaysiakini di beberapa kawasan di sekitar ibu kota menerima maklum balas daripada pemandu teksi yang memberitahu mengenai dampak ekonomi yang sedang ditanggung mereka.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi KJB, M Logenthiren Pillay berkata sudah mula terasa kehilangan pendapatan sejak awal Februari.

"(Ini) selepas penularan wabak Covid-19 di China. Ini kerana kekurangan kehadiran pelancong dari China ke Malaysia. Dan selepas pengumuman PKP keadaan menjadi lebih teruk.

"Walaupun, kami diberi kebenaran untuk beroperasi semasa PKP, tapi tidak ada penumpang," katanya.

Menurut M Logenthiren (gambar, atas) yang juga seorang pemandu teksi di kawasan Lembah Klang pemandu teksi berbeza dengan pemandu Grab dan pemandu e-hailing lain walaupun bantuan yang diterima oleh kerajaan tidak banyak berbeza.

Ini kata Logenthiren disebabkan pemandu teksi perlu membayar sewa kereta kepada syarikat teksi.

"Dalam pakej rangsangan ekonomi kerajaan umum bantuan one-off RM600 kepada kami dan RM500 kepada pemandu e-hailing termasuk pemandu Grab.

"Kalau kita melihat secara realiti, mereka mempunyai pilihan untuk menangguhkan pembayaran pinjaman kereta di bank selama enam bulan. Tapi, kami perlu bayar sewa permit dan sewa kereta walaupun nasibnya yang sama dengan mereka.

"Kami masih perlu bayar pinjaman kepada syarikat yang sewa teksi kepada kami," katanya.

Menjelaskan lanjut, Logenthiren berkata pemandu teksi yang mempunyai permit sendiri juga masih perlu bayar pinjaman kereta setiap bulan dalam tempoh PKP.

Menurutnya pemandu teksi terpaksa mendapat pinjaman bagi teksi di syarikat pinjaman kredit yang caj faedah yang tinggi sebab kebanyakan masa pihak bank menolak permohonan pinjaman.

Kerajaan juga, gesa Logenthiren perlu memberi kelonggaran bayaran sewa permit selama setahun dan tanggungan bayaran sewa kereta sekurang-kurangnya sehingga Disember tahun ini.

"Buat masa ini kami bayar RM20 hingga RM30 untuk sewa permit sehari. Dan RM30-RM40 untuk sewa kereta sehari. Ini cuma teksi biasa. Kalau teksi eksekutif (teksi biru) lagi mahal antara RM100-RM120 sehari," katanya.

Logenthiren turut meminta bantuan one-off tambahan RM1,000 kepada kesemua pemandu teksi.

"Bantuan one-off yang dijanji sebelum ini hanya mengambil kira tempoh PKP sehingga 14 April sahaja. Tapi, melihat situasi semasa PKP ditambah sehingga 28 April, kami harap kerajaan memberi tambahan sekurang-kurangnya RM1,000," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Teksi Jalan Imbi, V Tamil Selvam (gambar, bawah) menggesa kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu komisen e-hailing.

"Ini satu isu berpanjangan. Kami (pemandu teksi) sering dipinggirkan dan hanya pemandu Grab dan e-hailing yang lain diberi keutamaan sekiranya ada tempahan sewa kereta melalui atas talian," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya garis panduan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) yang dirangka ketika pentadbiran PH, syarikat pengendali e-hailing hanya mengambil komisen 10 peratus ketika memberi 'kerja' kepada pemandu teksi, manakala 20 peratus komisen diterima ketika 'kerja' yang sama diberi kepada pemandu Grab dan pemandu e-hailing yang lain.

"Ini salah satu punca kami sering dipinggirkan oleh syarikat e-hailing," katanya.

'Pemandu teksi bukan Makcik Kiah'

Dihubungi kemudian, Yang DiPertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata kehidupan harian pemandu teksi seluruh Malaysia sedang terjejas.

"Memang pada dasar, pemandu-pemandu ini tidak mempunyai pendapatan sampingan. Mereka ini bukan Makcik Kiah.

"Mereka golongan miskin yang perlu diberi perhatian," katanya.

Kamaruddin (gambar, bawah) juga berkata ini masa terbaik untuk memberikan permit pensendirian kepada pemandu teksi yang membayar sewa kepada syarikat-syarikat teksi.

 "Bayaran kepada syarikat-syarikat ini adalah satu ketirisan. Kami tak perlu lagi jadi 'hamba'. Lebih baik beri permit persendirian.

"Kami nak industri ini maju ke depan dengan pendapatan yang lumayan kepada setiap pemandu teksi," katanya.

Ditanya mengenai e-hailing, Kamaruddin menjawab kerajaan PN perlu bersikap adil.

"Isu e-hailing ini memang kami berjuang bertahun-tahun. Kami nak hak kesamarataan (potongan komisen yang sama dengan pemandu e-hailing yang lain).

"Kementerian Pengangkutan tidak wujudkan padang sama rata. Saya tidak faham kenapa APAD membuat garis panduan komisen berbeza membuat pemandu teksi sengaja dipinggirkan walaupun mendaftarnya.

"Saya minta menteri pengangkutan supaya kaji balik isu ini dan telus," katanya.