Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Dua hari cukup sidang parlimen bahas Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata masa dua hari sudah mencukupi untuk sidang khas parlimen bagi membahaskan usul mengenai Covid-19.

Jelas beliau, malahan sidang Dewan Rakyat itu boleh diadakan secara langsung melalui teknologi telesidang.

"Saya tidak faham kenapa kita harus susah payah datang ke Kuala Lumpur untuk begitu kerana boleh buat melalui siaran langsung dan ahli-ahli parlimen masing-masing di rumah dan mendengar, kalau mahu ditangguh begitu.

"Sidang parlimen ini bererti kita boleh membahaskan (Covid-19), saya faham tak perlu berminggu-minggu untuk berbahas, kita boleh buat dua hari," katanya pada siaran langsung di Facebook hari ini.

Beliau mengulas notis pemberitahuan Dewan Rakyat yang akan tetap bersidang pada 18 Mei ini.

Berdasarkan notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat, sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tersebut akan dilangsungkan selama satu hari saja.

Anwar berkata demikian ketika ditanya salah seorang warga maya mengapa kerajaan PN tidak mahu mengadakan sidang parlimen khas Covid-19.

"Tidak ada penjelasan. Saya bangkitkan perkara ini kepada PM Muhyiddin Yassin, pimpinan Majlis Presiden PH kemukakan pandangan ini dalam suatu kenyataan minta diadakan sidang khas supaya dibincangan hanya Covid-19 dan tidak ada isu atau usul lain pun tidak diterima dan diadakan cadangan sidang parlimen pada 18 Mei, titah diraja kemudian semua balik," jawabnya.

Gambar hiasan: Anwar bersama Muhyiddin di bangunan parlimen pada 2018.

Pada 14 April lalu Anwar memberitahu beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan beberapa perkara termasuk langkah yang diambil bagi membendung wabak Covid-19.

Mesyuarat itu kata Anwar berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

MP Port Dickson juga mengulang cadangan Majlis Presiden PH pada 14 April lalu supaya sidang khas parlimen dijalankan dengan jumlah kehadiran minimum, mengambil contoh apa yang dilakukan Parlimen Kanada baru-baru ini.

Pada sidang berkenaan, hanya 32 daripada 338 ahli parlimen negara di Amerika Utara itu hadir dan selaras dengan tuntutan penjarakkan sosial.

"Kita boleh putuskan umpamanya supaya tidak membebankan kalau perlu diadakan sesi dan takut kalau jadi masalah tempat dan sebagainya kerana ditetapkan jarak sosial," katanya.

Bagaimanapun, kata Anwar terdapat "andaian kerajaan PN ini tidak mahu meneruskan sidang parlimen kerana bimbang undi tidak percaya."

"Maknanya ia (PN) tidak yakin sokongan ahli parlimen," dakwanya.