Yuran tadika: Ibu bapa, pengusaha sama-sama tersepit
Ibu bapa tersepit kerana masih perlu membayar ratusan ringgit yuran tadika dalam keadaan ada di kalangan mereka yang kehilangan punca pendapatan.
Pengusaha tadika pula menanggung beban kos kerana masih perlu membayar komitmen seperti gaji pekerja dan sewa, dalam keadaan ramai ibu bapa meminta penangguhan bayaran.
Selepas genap sebulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, kedua-dua belah pihak menjadi serba salah.
Bagi seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 32, dia benar-benar terbeban memandangkan diminta untuk tetap membayar yuran buat dua anaknya yang bersekolah tadika, seorang berusia 6 tahun manakala seorang lagi 4 tahun dengan yuran berjumlah RM740.
“Dia tak ada apa-apa tindakan (mengajar secara dalam talian), lepas tu minta bayaran. Saya rasa macam tak patut lah minta bayaran.
[...] Sebab semua orang tengah susah sekarang ini. Bukannya semua ibu bapa kerja dapat gaji penuh buat masa sekarang. Kita minta dia (bertimbang rasa),” kata Ana yang mengusahakan perniagaan cenderahati dan coklat, serta perkhidmatan pelancongan.
Katanya, hanya setelah dia menyuarakan soal berkenaan, barulah pihak tadika bersetuju membuat potongan yuran 50 peratus untuk bulan April dan memberikan kerja rumah sejak dua hari lepas, tetapi tidak melibatkan pembelajaran dalam talian.
“Rasa terbebanlah. Macam mana pun, saya masih kena kerja juga. Anak di rumah. Sebelum sempat nak cari duit untuk nak makan untuk diri sendiri, kena bayar komitmen yang kita tak guna (tadika),” katanya merujuk tadika yang menutup operasi sejak 18 Mac lalu.
Kena buat pinjaman bank
Mengakui perniagaannya merosot teruk sehingga hanya mampu meraih 20 peratus sahaja daripada jualan biasa.
Menurutnya, ia prestasi terburuk sejak empat tahun menceburi bidang perniagaan dan kini dia juga masih perlu membayar sewa premis, utiliti, dan sebagainya untuk perniagaannya.
“Tapi jualan tak cukup nak tampung (semua kos), kena minta pinjaman (bank) untuk tampung overhead sekarang ini. Perniagaan itu dah jadi komitmen buat masa sekarang (berbanding hal lain), dan pekerja pun sudah ada yang letak jawatan,” katanya lagi.
Bagi seorang petugas barisan hadapan yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 30, selain daripada yuran tadika untuk anaknya berusia 5 tahun, dia kini perlu pula membayar upah pengasuh sepanjang PKP.
Jelas Ida, ini kerana dia dan suaminya masih perlu bekerja.
Katanya, dia menghantar anaknya ke pengasuh dengan upah RM10 sehari, dan memandangkan sebagai seorang jururawat, dia perlu bekerja enam hari seminggu sepanjang PKP ini, dia perlu membayar lebih RM200 sebulan untuk bayaran upah pengasuh sahaja.
Itu tidak termasuk yuran asuhan RM350 sebulan yang menurut Ida memang sedia ada perlu dibayar buat seorang lagi anaknya yang baru berusia setahun.
Menurutnya, kira-kira seminggu lalu, tadika anaknya bersetuju memberikan potongan sebanyak RM80 daripada yuran bulanan RM315 yang harus dibayar ibu-bapa, tapi jumlah itu belum dimuktamadkan.
“Kalau dekat pengasuh pun saya dah bayar, jadi saya rasa macam agak tak adil lah. Saya bayar pengasuh, dan saya perlu bayar (penuh) ke tadika juga, kan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, dia bukanlah meminta penangguhan bayaran seratus-peratus kerana memahami komitmen ditanggung pengusaha tadika itu sendiri, namun mencadangkan bayaran sekitar 30 ke 40 peratus daripada yuran asal.
“Saya rasa kena ada situasi menang-menang. Tadika bagi diskaun yang munasabah, ibu bapa juga bayar sedikit kepada tadika (berbanding yuran asal), supaya lepas habis PKP tadika dapat beroperasi seperti biasa.
“Saya pun tak nak tadika tutup, cikgu pun semua baik-baik dengan anak saya. Jadi saya nak mereka beroperasi lagi selepas ini,” katanya yang tinggal di Kota Kinabalu.
Bagi pengurus projek sebuah syarikat pembinaan, Hazlami Rosli, 33, yang mempunyai dua orang anak di tadika, seorang 6 tahun dan seorang lagi 4 tahun, dia tidak kisah membuat bayaran penuh kepada pihak tadika asalkan pembelajaran masih tetap berjalan secara dalam talian.
Walaupun pada mulanya dia tidak bersetuju dengan permintaan tadika untuk membuat bayaran penuh, kira-kira RM1100 sebulan untuk kedua-dua anaknya, namun dia mengubah fikiran setelah nampak inisiatif tadika yang mula membuat pembelajaran dalam talian bermula Rabu lepas.
“Masalahnya adalah dari segi apakah ada input untuk anak saya? Kalau saya buat pembayaran tapi tak ada input untuk anak, itu tak berapa sesuailah,” katanya kepada Malaysiakini.
“Jadi, kedua-dua belah pihak kena ada usaha. Saya buat pembayaran, mereka pun kena lakukan sesuatu untuk anak saya, sebab duit itu memang dibayar untuk pembelajaran anak saya, kan?” Katanya yang menetap di Gelugor itu.
Katanya, gaji untuk bulan ini dipotong 50 peratus malah Hazlami memberitahu bahawa dia akan dipotong gaji 100 peratus untuk bulan-bulan seterusnya sekiranya tempoh PKP dilanjutkan.
Menurut Hazlami lagi, situasi menang-menang adalah apabila tadika memberikan potongan sebanyak 50 peratus yuran sepanjang tempoh PKP yang masih belum pasti sama ada akan dilanjutkan atau tidak.
Ibu bapa hentikan anak dari taska
Sementara itu, seorang pengusaha taska di Petaling Jaya yang enggan dinamakan berkongsi kemelut yang dihadapi apabila sudah ada segelintir ibu bapa memberhentikan anak mereka bagi mengelak membayar yuran, meskipun setelah diberikan pengurangan 40 peratus bagi bulan April.
“Bagi bulan Mei, kami masih tidak tahu nasib taska …
“Kos operasi taska besar termasuk sewa premis, gaji, (pembayaran) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) (untuk) pekerja dan guru, masih berjalan walaupun PKP.
“Pendapatan taska sememangnya bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan yang dibayar oleh penjaga dan jika tiada yuran tiada juga pendapatan kami untuk terus beroperasi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tiga hari lepas, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata penjarakkan sosial yang sukar dilakukan di tadika menjadi faktor pertimbangan untuk tidak membuka tadika atau prasekolah, meskipun selepas PKP tamat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Putrajaya (Puspajaya), Husna Abdul Rahaman (gambar, bawah) berkata, situasi runcing yang dihadapi pengusaha taska dan tadika di musim PKP ini mendedahkan sebahagian pengusaha kepada risiko terpaksa menutup operasi.
Katanya, hanya taska dan tadika yang menyewa di premis kerajaan dan badan berkanun sahaja mendapat pengecualian bayaran sewa, namun bagi pengusaha di premis lain, sewa masih perlu dilunaskan seperti biasa.
Husna turut menggesa kerajaan mengambil perhatian masalah yang dihadapi pengusaha taska dan tadika dan memberikan bantuan sewajarnya agar pengusaha dapat meneruskan operasi setelah PKP ditamatkan nanti, termasuklah bantuan dana kepada pengusaha.
Dia turut meminta kerajaan membantu pihak taska dan tadika dalam memberikan makluman yang jelas kepada ibu bapa mengenai kos operasi mereka.
“Pemberian subsidi yuran kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska dan tadika berdaftar juga boleh dilaksanakan untuk adil bagi kedua-dua pihak.
“Kami cuma berharap boleh membayar sewa premis dan membayar gaji guru-guru sekiranya ibu bapa tidak mahu membayar yuran sepanjang PKP ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai