Skip to main
Logo Malaysiakini

MP DAP gesa sidang Dewan Rakyat 'maya'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran mencadangkan kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat secara 'maya' sebagai alternatif berikutan langkah mengadakan sidang parlimen selama sehari pada Mei depan.

Anggota Parlimen Ipoh Barat itu berkata amalan seumpama itu telah diguna pakai oleh badan perundangan di Albania, Colombia, Brazil dan Maldives dalam usaha memerangi Covid-19.

"Bagaimana kita Ahli Parlimen di Malaysia diberi kuasa untuk membangkit isu di parlimen kita jika Parlimen tidak bersidang dan membincangkan isu-isu kritikal yang memberi kesan kepada rakyat dalam tempoh penting ini?

"Saya menggesa kerajaan Pakatan Nasional memanggil persidangan parlimen tergempar secepat mungkin sebelum 18 Mei melalui sidang maya yang akan membolehkan semua anggota parlimen membangkitkan kebimbangan di kawasan masing-masing dan menyampaikan mesej yang tegas kepada rakyat yang mereka wakili," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain sidang maya, Kulasegaran berkata penggubal undang-undang di Perancis, Jerman, Norway, dan Croatia meneruskan sesi parlimen dengan mengehadkan jumlah ahli parlimen dan mematuhi penjarakan sosial.

"Kita hidup pada zaman yang luar biasa yang memerlukan kita untuk berfikir di luar kotak dan melaksanakan penyelesaian inovatif.

"Saya sendiri akan bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Nasional untuk mencari penyelesaian dalam mengatasi cabaran yang disebabkan oleh wabak Covid-19 kepada Rakyat," kata Kulasegaran.

Menurut notis yang dikeluarkan kepada Ahli Parlimen melalui e-mel oleh Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tersebut akan dilangsungkan selama satu hari saja.

"Oleh itu, tidak akan ada sesi soal jawab, soalan bertulis, usul, dan sidang khas," kata Riduan dalam notis melalui e-mel.

Kulasegaran berkata terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani oleh parlimen, termasuk impak keseluruhan wabak Covid-19 kepada rakyat Malaysia.

Bekas Menteri Sumber Manusia itu juga menyebut mengenai jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan melibatkan pekerja Malaysia dan pekerja asing; aduan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta isu pengagihan makanan..

"Paling penting, mesti ada semak dan imbang yang berkesan bagi Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion bagi memastikan keberkesanan dan penyampaiannya," katanya.

Dewan Rakyat pada asalnya dijadualkan bersidang selama 15 hari antara 18 Mei dan 23 Jun.

Sidang sebelum itu ditangguhkan pada 5 Disember tahun lepas dan sepatutnya bersidang semula pada 9 Mac.