Skip to main
Logo Malaysiakini

'Wakil rakyat dibenarkan hadiri program tapi kena ikut SOP'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wakil rakyat dibenarkan menjalani program di kawasan mereka semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, wakil rakyat antara individu atau kumpulan yang dibenarkan menjalani tugas ketika PKP seperti jabatan kerajaan yang lain.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, mereka harus melaksanakan program dalam skala kecil dengan jumlah kehadiran orang awam yang sedikit.

Wakil rakyat tugas jaga kebajikan rakyat di kawasan mereka tapi tertakluk pada SOP (untuk membendung Covid-19).

“Tidak (dibenarkan) pertemuan besar, jamuan besar juga tidak dibenarkan. Keluar pun tak perlu rombongan kereta besar.

“Cukup dua atau tiga orang sahaja ikut rombongan mereka bagi makanan atau bantuan lain atau sebagainya,” kata Ismail Sabri pada sidang media secara langsung di Putrajaya sebentar tadi.

Bagaimanapun beliau berkata, lebih baik jika wakil rakyat mendapatkan bantuan daripada petugas barisan hadapan - seperti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM- untuk pengagihan barangan keperluan kepada orang ramai.

“SOP tersebut (garis panduan) kita dah beri kepada semua wakil rakyat, sama ada anggota parlimen atau adun. Sesiapa sahaja dalam waktu PKP ini mesti ikut SOP ditetapkan MKN,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas berkenaan isu melibatkan beberapa ahli politik mengingkari arahan PKP, beliau difahamkan pihak polis sudah mengambil keterangan dan akan membuat tindakan lanjut.

“(Berkenaan) Isu berkaitan VVIP (ahli politik) yang sebar di media semalam dan pagi ni, tiada siapa akan terlepas dari tindakan undang-undang kalau ingkar dan tak patuh PKP.

“Dalam kes melibatkan anggota kerajaan, saya difahamkan polis sudah memanggil individu itu dan tindakan lanjut adalah atas keputusan pihak berkuasa," katanya.

Hari ini dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria tampil membuat permohonan maaf susulan gambar menghadiri jamuan yang melibatkan beberapa kumpulan orang awam termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Razman bersama kumpulan tersebut dilihat sedang makan-makan ketika tempoh PKP dilaksanakan. Gambar tersebut turut menjadi tular sejak beberapa hari lalu.

Malaysiakini sudah menghubungi pemimpin yang didakwa melanggar PKP termasuk Noor Azmi, bagi mendapatkan ulasan.

Semalam, Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata pihaknya akan mengambil keterangan seorang timbalan menteri ekoran dakwaan melanggar PKP, kerana menyertai satu jamuan makan bersama sejumlah yang lain.