Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Tempoh 90 hari selepas PKP untuk daftar kelahiran, kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran kelahiran dan kematian semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, kepada 90 hari selepas tamatnya perintah itu.

Perkara itu dimaklumkan menteri kanan kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob, yang berkata ini kerana rakyat tidak dapat membuat pendaftaran itu semasa PKP dikuatkuasakan.

“Pendaftaran kelahiran dan kematian tidak boleh dilakukan ketika PKP. KDN telah buat keputusan untuk lanjut tempoh (pendaftaran) kepada 90 hari selepas PKP tamat.

“Jadi daftar lahir anak and kematian selepas kita umumkan PKP tamat. Penalti (bagi kelewatan atau tidak membut pendaftaran) akan dimansuhkan, jadi tiada penalti,” kata Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Putrajaya yang disiar secara langsung di akaun Facebook hari ini.

Ismail berkata lagi, lanjutan 90 hari itu turut terpakai buat warga Malaysia di luar negara yang ingin mendaftarkan kelahiran atau kematian, tetapi tidak boleh pulang kerana negara tempat tinggalnya mengenakan perintah kawalan yang serupa.

"Kalau di negara terbabit ada perintah darurat (atau kawalan), selepas ia tamat, kita beri tempoh 90 hari (untuk berbuat demikian) melalui pejabat kedutaan," katanya.

Berkenaan mereka yang kehilangan kad pengenalan dan perlu membuat yang baru bagi tujuan tuntutan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Ismail berkata mereka boleh menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara yang terdekat.

Katanya lagi, mereka kemudian boleh membuat temu janji dengan pagawai berkaitan untuk tujuan itu.

"Kalau tiada keperluan segera untuk ubah kad pengenalan, mereka boleh buat dalam masa 90 hari selepas PKP tamat," katanya lagi.