Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar bimbang jumlah penyebaran penyakit pernafasan dan inluenza

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Meskipun lega dengan penurunan kes jangkitan baru Covid-19, pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee menzahirkan rasa bimbang terhadap angka kes penyakit tak berkait seperti influenza atau jangkitan pernafasan akut teruk (ILI/Sari).

“Saya lega kes (Covid-19) sudah turun, dan PKP (perintah kawalan pergerakan) menunjukkan kesannya.

“Tapi saya bimbang bahawa sejak 17 hari kebelakangan ini, terdapat 40 kes ILI/Sari yang tidak berkait. Malah, dalam enam hari lepas, terdapat 23 kes seumpamanya.

“Bagus untuk kita lihat dari mana punca kes tak berkait ini, dan apakah ia merebak meskipun ketika dalam tempoh PKP?” soal Lee, yang juga bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Malaysia (penyelidikan dan sokongan teknikal).

Dr Lee yang turut mengetuai satu jawatankuasa untuk menyemak perincian kematian Covid-19 di negara ini oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), menegaskan yang beliau kali ini menyuarakan pandangan atas kapasiti peribadinya.

Bilangan kes Covid-19 baru yang dikesan secara relatifnya menunjukkan penurunan menggalakkan dengan 54 kes dicatat pada 18 April, 69 kes pada 17 April, 110 kes pada 16 April, dan 85 kes pada 15 April.

Pada setiap hari berkenaan, bilangan pesakit yang dibenarkan pulang melebihi bilangan kes baru Covid-19.

Bagaimanapun, Lee memberi peringatan bahawa kes ILI/SARI tidak berkait itu bermakna kita tidak mengetahui bagaimana pesakit mendapat jangkitan.

“Tiada sejarah perjalanan, tiada kontak yang diketahui dengan kes disahkan, dan tiada pendedahan terhadap kluster yang disahkan seperti tabligh atau perhimpunan sosial yang spesifik.

“Ia menjadi kebimbangan, kerana ini bermakna ada penyebaran komuniti yang tak dapat dikesan sedang berlaku.

“Dan memandangkan ia tak dapat dikesan, kita tak dapat tahu bagaimana untuk menjejak atau membendung ‘kluster’ berkenaan; kerana itulah wujud kebimbangan yang signifikan tentang jangkitan yang berlaku,” kata Lee kepada Malaysiakini.

Tambahnya, kes-kes itu dikelaskan sebagai kes tidak berkait apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami ILI/Sari, dan diminta menjalani ujian, meskipun mereka tidak mempunyai kaitan dengan risiko sejarah perjalanan, kontak atau kluster Covid-19.

[Baca berita asal]