Skip to main
Logo Malaysiakini

Kita nak belajar kejayaan dan juga kesilapan China, kata Noor Hisham

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dengan ketibaan pasukan perubatan China di Malaysia semalam, Kementerian Kesihatan akan dapat belajar langkah yang telah diambil negara itu, sama ada berjaya mahupun tidak, dalam melawan Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata, ia agar pihaknya dapat menambah baik langkah-langkah dalam menghadapi wabak itu.

"Apa yang kita lihat ialah kita dapat berbincang dari segi rawatan dan juga penyelidikan, dan bukan saja perkara yang positif. Mungkin ada perkara yang mereka laksanakan dan tidak berjaya.

"Jadi kita juga nak belajar perkara yang mereka telah laksanakan tetapi tiada impak misalnya, supaya kita tak mengulangi perkara itu," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau sekali lagi berkata kehadiran pasukan itu, yang terdiri daripada lapan pakar dalam bidang berbeza, bukan untuk merawat pesakit tetapi untuk bertukar pengalaman dan maklumat.

Berkenaan jika jumlah ujian saringan yang dilakukan Malaysia memadai, Noor Hisham berkata ia berada dalam tanda aras yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Laporan WHO (menyatakan) jika kita saring 100 orang dan 50 daripadanya positif, maksudnya lebih ramai orang dalam komuniti yang kita belum dapat kesan.

"Misalnya kalau 50 peratus (daripada ujian) adalah positif, bererti kita perlu tingkatkan saringan kita, belum cukup.

"Tanda aras WHO adalah 10 peratus tetapi kejayaan kita lima peratus (daripada jumlah yang diuji didapati positif)," katanya.

Menurut Noor Hisham, Malaysia telah membuat ujian saringan kepada lebih daripada 105,000 kes dengan 5,389 daripadanya positif, iaitu kira-kira lima peratus daripada keseluruhan kes yang diuji.

Ia berbanding dengan beberapa negara lain yang mencatatkan kadar enam hingga tujuh peratus, katanya lagi.

"Jadi kalau lihat kadar lima peratus (oleh Malaysia), maksudnya kita telah menetapi tanda aras WHO.

"Tetapi cara yang kita lakukan ialah melalui kaedah bersasar terhadap lokasi dan kumpulan, seperti kumpulan pesakit dalam siasatan (PUI) dan kontak rapat," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata apabila ujian dibuat kepada kalangan kontak rapat, kira-kira 31 peratus daripada mereka positif, dan kurang 10 peratus daripada kluster Tabligh dan hanya lapan peratus daripada kluster sekolah Tahfiz didapati positif.

Maka secara purata, katanya lagi, jumlah peratusan kes positif berbanding jumlah kes yang menjalani ujian adalah kira-kira lima peratus.

"Dari segi itu, saya rasa memadai, tetapi apa yang penting sekarang ialah jika kita lihat PKP fasa pertama dan kedua, kita telah berjaya menurunkan kes positif.

"Kita sudah turun kepada dua digit (kes baru setiap hari), jadi kita kena pertingkatkan usaha kita agar dalam fasa ketiga ini, kita dapat kawal dan turunkuan lagi kes positif," katanya lagi.

Beliau turut mengulas berkenaan sebelas penjara sementara untuk pesalah berkaitan PKP yang akan mula beroperasi pada 23 April ini.

Beliau memberi jaminan bahawa doktor akan ditempatkan di setiap penjara dan Kementerian Kesihatan sedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara dan Majlis Keselamatan Negara bagi menjaga kesihatan dan kebajikan mereka yang menjalani hukuman di sana.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.