Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP tak kecualikan pemimpin hadir jamuan, solat jemaah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Persoalan sama ada bolehkah para pemimpin tertentu yang dikaitkan dengan isu "berhimpun" di majlis makan dan solat berjemaah" di sebuah tempat ditahan dan didakwa kini menjadi isu nasional.

Isu ini melibatkan isu perundangan, maka sebagai orang undang-undang, saya tidak dapat lari daripada memberi pendapat saya.

Isunya "bolehkah para pemimpin itu ditahan dan didakwa di bawah undang-undang yang bernama "Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2020. ("peraturan tersebut").

Alhamdulillah, saya sempat membaca peraturan tersebut yang dibuat di bawah kuasa menteri (Menteri kesihatan) di bawah seksyen 11 (2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) ("Akta tersebut").

Kita lihat dulu perkara asas. Ada soalan dibangkit bolehkah peraturan tersebut dikuatkuasakan tanpa ia diluluskan di parlimen terlebih dahulu?

Jawabnya boleh. Peraturan tersebut, di dalam undang-undang, dipanggil "the delegated legislation" atau "undang-undang subsdiari" iaitu subsidiari kepada Akta tersebut ( Akta Ibu). Maka ia tidak perlu dibuat atau dilulus di parlimen.

Berdasarkan peraturan tersebut khususnya peraturan 3, mungkin kita boleh, secara umum, katakan semua orang adalah dilarang bergerak di waktu PKP ini [lihat peraturan 3 (1)], kecuali pergerakan seseorang itu jatuh dalam dalam salah satu pengecualian di bawah mana-mana perenggan (a) hingga (f) peraturan 3 (2) peraturan tersebut.

Mungkin kes para pemimpin yang kes mereka kita sedang bualkan di sini boleh dihujahkan jatuh di bawah pengecualian yang dinyatakan di perenggan 3( 2 ) (f).

Apa dia pengecualian itu? Jawabnya mereka dibenarkan bergerak untuk mereka melaksanakan apa-apa tugas rasmi.

Maknanya, mereka boleh bergerak di dalam kawasan tersebut bagi melaksanakan tugas rasmi, misalnya, memberi bantuan.

Jika begitu, apa salah mereka?

Hari biasa tak sama hari PKP

Jawabnya begini. Jika mereka hadir ke tempat itu sekadar untuk laksanakan tugas rasmi untuk beri bantuan misalnya, bagi saya, mereka boleh berlindung di bawah peraturan 3 (2) (e) peraturan tersebut.

Tetapi bagaimana dengan mereka menyertai program makan beramai-ramai dan katanya juga bersolat jemaah?

Bagi saya, kedua-dua aktiviti tersebut bukan tugas rasmi sepertimana program memberi bantuan. Maka kedua-dua aktiviti tersebut, bagi saya tidak boleh dilindungi di bawah pengecualian yang dinyatakan di bawah peraturan 3 (2) tersebut.

Mungkin akan dihujahkan 'takkan dalam program rasmi dijemput orang besar tidak ada jamuan makan?'

Ya, betul, tapi itu pada hari normal bukan di hari PKP yang sedang berkuat kuasa. Oh ya, orang sedang bercakap tentang a new normal sekarang.

Bagaimana pula dengan solat berjemaah? Jawabnya, hujah yang sama seperti di atas. Sebab itu, sudah ada rakyat biasa yang ditahan hatta walau bersolat jemaah.

Kesimpulannya, para pemimpin dan semua yang terlibat, pada pandangan saya boleh ditahan dan didakwa di bawah peraturan 11 peraturan tersebut.

Ini sekadar pandangan saya sahaja dan ia tidak mengikat sesiapa.


HANIPA MAIDIN ialah Anggota Parlimen Sepang dan bekas menteri undang-undang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.