Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi protes desak hapus sekatan, jumlah kematian AS cecah 40,000

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL l Beberapa siri bantahan terus meletus di Amerika Syarikat pada Ahad lalu berhubung perintah tinggal di rumah manakala beberapa gabenor mempertikaikan kenyataan Presiden Donald Trump yang mendakwa mereka telah menjalankan ujian yang mencukupi ke atas novel koronavirus dan ekonomi negara harus segera dibuka semula.

Dianggarkan 2,500 orang berkumpul di ibu kota Washington di Olympia untuk membantah perintah tinggal di rumah yang dikeluarkan oleh Gabenor Demokrat, Jay Inslee. Mereka mengingkari larangan perhimpunan oleh 50 orang atau lebih.

Di sebalik permintaan daripada penganjur perhimpunan agar peserta memakai penutup mulut dan hidung seperti yang disarankan oleh pihak kesihatan awam, ramai yang tidak mempedulikannya.

"Menutup perniagaan dengan memilih sektor mana yang penting dan tidak penting adalah pelanggaran perlembagaan negeri dan persekutuan," kata penganjur perhimpunan Tyler Miller, 39, seorang jurutera dari Bremerton, Washington, kepada Reuters.

Di Denver, ratusan orang berkumpul di ibu kota negeri itu untuk menuntut agar penutupan Colorado ditarik semula. Ketika para penunjuk perasaan menyebabkan kesesakan jalan dengan memadu kereta, pekerja kesihatan yang memakai penutup mulut berkumpul di persimpangan sebagai membantah perhimpunan mereka itu.

Arahan supaya tinggal di rumah, yang menurut pakar penting untuk memperlahankan penularan virus itu telah menjejaskan ekonomi AS dengan lebih 22 juta rakyat telah mengemukakan permohonan untuk mendapat pamapasan pengangguran pada bulan lalu. Bantahan supaya arahan tinggal di rumah sebelum ini pernah tercetus di beberapa tempat di Texas, Wisconsin dan ibu kota Ohio, Minnesota, Michigan dan Virginia.

"Orang-orang ini cintakan negara kita," kata Trump, yang berharap ekonomi yang pesat akan mencerahkan peluangnya untuk dilantik semula pada pilihan raya presiden pada November nanti.

Pada taklimatnya di Washington, semalam, beliau berkata "Mereka mahu kembali bekerja."

Di New York, jumlah pesakit Covid-19 di hospital berkurangan kepada 16,000 orang berbanding 18,000 sebelum ini, termasuk mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, 507 kematian baharu dilaporkan, menurun ketara berbanding lebih 700 korban sehari sebelum ini.

“Jika ia berterusan, kita sudah melepasi tempoh kemuncak dan semua petunjuk itu memberitahu bahawa jumlah kes semakin berkurangan.

“Kami menunjukkan bahawa ‘makhluk ganas’ ini boleh dikawal tetapi kita mesti memastikan ia boleh ditewaskan sepenuhnya,” kata Gabenor New York Andrew Cuomo pada sesi taklimat harian.

Bagi memastikan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti, Cuomo berkata, negeri itu akan melaksanakan ujian secara lebih agresif pada minggu seterusnya.

Beliau berkata, New York akan menyaring 2,000 individu sehari atau 14,000 orang setiap minggu terhadap keseluruhan 19 juta penduduknya.

Cuomo bersama beberapa gabenor lain memperjuangkan untuk lebih banyak saringan dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan membuka semula negeri mereka.

Sementara itu, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins, jumlah kematian akibat pandemik Covid-19 di AS telah melepasi 40,000, setakat Ahad semalam.

Angka korban di negara ini telah mencecah 40,585 dengan separuh daripada jumlah itu berpusat di New York yang didakwa Cuomo sebagai semakin ‘menunjukkan penurunan’.

Berdasarkan penjumlahan itu, bilangan korban dicatatkan AS itu mengatasi Itali yang berada di kedudukan kedua dengan 23,660 kematian.

AS juga melaporkan sebanyak 742,442 kes positif, setakat ini, iaitu hampir empat kali ganda berbanding Sepanyol.