Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Ramai akan hilang tempat berteduh jika k’jaan gagal bantu’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda Umno menggesa kerajaan untuk memperkenalkan peraturan bagi memelihara hak penyewa dan pemilik premis kediaman ketika wabak Covid-19.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya menerima aduan orang ramai di kalangan penyewa yang berdepan tekanan daripada pemilik rumah supaya melunaskan sewa bulan meskipun berdepan kesukaran.

Lebih malang lagi katanya, kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman termasuk perumahan oleh institusi kewangan.

"Tekanan yang dikenakan oleh tuan/pemilik rumah untuk melunaskan sewa bulanan walaupun kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman perumahan oleh bank-bank.

"Fenomena ini juga memerlukan campur-tangan segera kerajaan dengan memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang dapat memelihara hak kedua-dua pihak penyewa dan pemilik premis, sebagaimana yang dilakukan oleh banyak negara ketika ini.

"Kita bimbang sekiranya situasi ini gagal dibendung, ramai keluarga akan kehilangan kediaman tempat berteduh lantaran sikap rakus sebilangan pemilik rumah yang hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) baru-baru ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberikan pengecualian bayaran selama enam bulan,

Dalam pembentangan pakej itu, beliau berkata, kos sewaan sebanyak RM3 juta tersebut akan ditanggung oleh kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain.

Beliau juga menyeru pemilik premis kediaman dan penyewa supaya mencari jalan terbaik bagi meringankan beban ketika berdepan situasi sukar itu.

Kerajaan juga turut mengumumkan pengecualian bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan bagi meringankan beban orang ramai ketika menghadapi situasi sukar ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Asyraf dalam pada itu melahirkan rasa kesal ekoran terhakisnya sifat ihsan dan timbang rasa dalam situasi sukar ini sedangkan semua maklum ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang PKP ini.

"Pemuda Umno juga ingin menyeru agar para pemilik rumah dapat menggunakan budi bicara dan menzahirkan sifat keihsanan kepada para penyewa dengan mengurangkan ataupun menangguhkan sewaan dalam tempoh PKP dan kepayahan semuamenghadapi Covid-19 ketika ini," katanya lagi.