Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penjawat awam dapat gaji seperti biasa, tak perlu morotarium pinjaman rumah'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penjawat awam menerima gaji seperti biasa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), justeru mereka masih perlu membayar pinjaman perumahan dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menambah bahawa penjawat awam juga mendapat insentif RM500 bagi Gred 56 dan ke bawah.

"Tentang pinjaman rumah kerajaan, telah diumumkan dan dijawab oleh kerajaan. Kakitangan kerajaan masih terima gaji macam biasa, yang tak terima gaji peniaga kecil seperti penjual goreng pisang.

"Kerana mereka (peniaga kecil) tak boleh buka perniagaan, mereka dapat bantuan geran," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Pada 9 April, dilaporkan bahawa Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa kerajaan menawarkan penangguhan tiga bulan atas pinjaman perumahan yang diambil oleh penjawat awam melalui LPPSA.

Pada 8 April, LPPSA memaklumkan tidak akan memberi moratorium pembayaran pinjaman bulanan untuk penjawat awam kerana kebajikan mereka dijaga.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ismail berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima banyak permohonan dari syarikat yang ingin melakukan pembersihan kawasan ebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Jelas Ismail, kerajaan mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat ini dalam membersihkan kawasan awam sebagai sebahagian langkah membendungCovid-19.

Namun, katanya, syarikat perlu mematuhi peraturan dan nasihat Kementerian Kesihatan, dan kegiatan pembersihan akan dipantau oleh pihak bomba dan penyelamat.

Sementara itu, Ismail memaklumkan bahawa sehingga semalam, polis dan Angkatan Tentera Malaysia telah memeriksa 369,106 kenderaan melalui 820 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Katanya, pihak berkuasa telah melakukan 42,482 pemeriksaan di seluruh negara, dengan 6,856 premis diperiksa.

Ismail berkata setakat semalam, polis telah menahan 1,174 individu kerana melanggar PKP, berbanding 1,111 yang ditahan sejak dua hari lalu.

Daripada 1,174 yang ditahan, 1,012 telah direman dan 162 dibebaskan dengan jaminan polis, dengan penangkapan kumulatif setakat semalam adalah 15,924.