Skip to main
Logo Malaysiakini

'Posmen dadah' kantoi bawa RM1.4 juta pil kuda

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tindakan seorang pemuda membawa sejumlah dadah jenis pil kuda membawa padah apabila berjaya dikesan polis Kelantan dalam kejadian pada jam 10.30 pagi di Kampung Kubang Pak Ali, Jalan Kesban, Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan, berkata, dalam Ops Wawasan oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) itu berjaya merampas 140,000 biji pil dipercayai pil kuda bernilai RM1.4 juta.

Menurutnya, susulan itu pihaknya turut menahan seorang pemuda berusia 27 tahun yang dikatakan bertindak sebagai 'posmen' dadah berkenaan.

Katanya, suspek yang memandu sebuah kereta Proton Persona dilihat mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan dalam but belakang kereta menemui dua kotak besar dan dua kotak kecil yang mengandungi 70 bungkusan plastik lut sinar.

“Kita mendapati, bungkusan plastik lut sinar itu diisi pil kemerahan dan kehijauan dipercayai pil yaba (kuda)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, siasatan pihaknya mendapati, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan tinggal di kawasan Rantau Panjang.

"Berdasarkan keterangan suspek, lelaki berkenaan mengambil bekalan dadah di Tumpat untuk dihantar ke Rantau Panjang.

"Suspek memaklumkan dia adalah penghantar dadah dan baru pertama kali melakukan kes berkenaan," katanya.

Tambah Hasanuddin, lelaki berkenaan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 26 April dan disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita juga turut membuat rampasan wang tunai RM1,805, dan wang tunai dengan mata wang Thailand 8050 Bath serta seutas jam tangan jenama Tissot dianggar bernilai RM500. Nilai rampasan keseluruhan RM1,431,935.

"Suspek juga mengaku secara lisan mempunyai dua kerakyatan iaitu kerakyatan Malaysia dan Thailand," jelasnya.