Skip to main
Logo Malaysiakini

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan derma darah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan mencemar duli berangkat menghadiri Program Derma Darah yang berlangsung di Istana Hinggap, di Seremban.

Pejabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan turut mencemar duli ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta program itu juga dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik.

"Program Derma Darah itu adalah bagi membantu menambah bekalan darah di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban selain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di Negeri Sembilan akan pentingnya menderma darah untuk menyelamatkan nyawa.

“Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan turut berkenan mencemar duli menderma darah,” menurut kenyataan itu.

Program Derma Darah yang dianjurkan Pejabat Yang Dipertuan Besar dan terbuka kepada semua pegawai dan kakitangan Istana Negeri Sembilan, dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan HTJ.

Ia berjaya mengumpul sebanyak 30 beg darah bagi kegunaan Pusat Perkhidmatan Darah HTJ.

- Bernama