Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawat duri sambut kepulangan lelaki baru dibebaskan lepas ingkar PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pekerja syarikat simen yang ditahan minggu lalu kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) pulang ke rumahnya hari ini, hanya untuk mendapati kawasan tempat tinggalnya telah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Lelaki itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Kumar, berkata dia dibebaskan daripada lokap pagi ini dan pulang ke unit apartmennya di Taman Sri Murni, Kuala Lumpur, di mana isteri dan tiga anaknya menanti kepulangannya.

"Tetapi bila saya sampai, saya diberitahu polis dan askar bertugas yang saya tak boleh masuk ke rumah," kata lelaki berusia 37 tahun itu ketika ditemui Malaysiakini di situ, hari ini.

Taman Sri Murni adalah kawasan terbaru yang dikenakan PKPD bermula hari ini. Menurut menteri kanan kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob, perintah itu berkuat kuasa sehingga 3 Mei dan melibatkan lapan kawasan di situ.

Di bawah PKPD, tiada siapa yang dibenarkan keluar atau masuk ke kawasan tersebut.

Kumar berkata lagi, polis dan askar yang ditemuinya menunjukkan rasa simpati kepadanya, tetapi berkata tidak boleh berbuat apa-apa dan terpaksa menguatkuasakan perintah itu.

Dia mendakwa terdapat satu kes kematian COvid-19 di blok apartmennya, melibatkan seorang warga asing yang meninggal dunia di Hospital Selayang.

"Mereka (penguatkuasa) berkata mereka perlu jalankan tugas, dan saya tak boleh masuk ke kawasan itu. Saya diberitahu ujian saringan Covid-19 akan dibuat esok, dan mungkin saya boleh pulang ke rumah selepas ia selesai.

"Sekarang saya tinggal di rumah bapa saudara, juga di Selayang, dan mungkin tidur di sana. Tengoklah esok macam mana," katany sambil menambah dia dibenarkan menghatar sedikit bekalan makanan untuk keluarganya.

Ditanya sebab dia ditahan, Kumar berkata dia ke rumah kawan di Prima Selayang pada Khamis lalu dan polis menahannya bersama empat yang lain kerana berkumpul ketika PKP.

Penduduk tak diberitahu awal

Sementara itu, difahamkan penduduk di Taman Sri Murni tidak membuat persediaan untuk menghadapi PKPD.

Seorang penduduk yang hanya ingin dinamakan sebagai Sharma, memberitahu Malaysiakini bahawa dia hanya tahu tidak dapat keluar daripada kawasan itu ketika ingin pergi bekerja pagi tadi.

"Saya keluar rumah kira-kira pukul sembilan pagi, dan lihat seluruh kawasan dipasang kawat duri.

"Askar dan polis yang berkawal di pintu masuk beritahu saya tempat itu sudah ditutup dan saya tak boleh keluar," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Damansara.

Dia mendakwa ramai penduduk hanya tahu tentang PKPD di kawasan itu pada pagi ini.

"Tiada pengumuman. Kami tidak bersedia," katanya lagi.

Sharma (bawah) berkata keluarganya tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk menempuhi perintah itu.

Ditanya jika mereka ada menerima bantuan makanan, dia berkata setakat ini belum menerima sebarang bantuan.

Dia perlu meminta seorang kawan yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk membelikan lampin dan susu formula untuk dua anaknya, kata Sharma.

Sementara itu, kunjungan Malaysiakini di kawasan itu mendapati sejumlah penghantar makanan dihalang masuk oleh pasukan keselamatan di simpang tiga di hadapan SK Sri Murni.

Mereka tidak dibenarkan masuk dan perlu menelefon pelanggan mereka untuk mengambil makanan yang dipesan.

Ada juga pesanan yang terpaksa dibatalkan memandangkan penduduk di beberapa blok tidak dibenarkan meninggalkan bangunan.

Menurut seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, perkara itu berlaku apabila pelanggan tinggal di bangunan yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19.