Skip to main
Logo Malaysiakini

Prabakaran dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran, dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 10 malam tadi setelah ditahan ekoran pertelingkahan dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.

Membuat kenyataan secara langsung melalui Facebook sejurus selepas dibebaskan, Prabakaran berkata, dia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota parlimen yang menjalankan tugasnya selama tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya dia juga telah memaklumkan kepada polis tentang pergerakannya.

Menurut Prabakaran dia melawat kawasan Taman Sri Murni di Selayang - yang kini berada di bawah PKP yang diperketatkan (PKPD) - untuk melihat keadaan penduduk yang kebanyakannya mengadu belum mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya bukannya nak menjadi hero, Superman atau Spiderman. Saya hanya mahu menjalankan tugas sebagai ahli parlimen," katanya.

Dia berkata, semasa kunjungannya, dia mengetahui bahawa Santhara sedang mengadakan mesyuarat di pusat kawalan di sebelah pasar borong Selayang, dan memutuskan untuk mengadakan perbincangan dengannya sebagai timbalan menteri.

Sementara itu Santhara dan pembantunya mendakwa pertelingkahan berlaku apabila Prabakaran memasuki pusat kawalan itu tanpa diundang dan sudah diberitahu supaya menunggu sehingga mesyuarat berkenaan tamat.

Prabakaran berkata dia tidak diizinkan menghadiri mesyuarat itu namun tidak kesal atau kecewa kerana menyedari kedudukannya sebagai ahli parlimen pembangkang.

Selalu jumpa peniaga

Katanya dia menunggu sehingga mesyuarat itu berakhir sebelum memutuskan untuk kembali ke Taman Sri Murni dan mengadakan perbincangan dengan polis dan dan pegawai Kementerian Kesihatan.

Selepas itu dia memutuskan untuk mengunjungi pusat kawalan itu sekali lagi.

"Saya ingin berjumpa dengan timbalan menteri (Santhara) untuk memberikan beberapa idea tentang bagaimana menolong penduduk.

"Saya tahu isu-isu mengenai pasar borong (dan peniaga-peniaganya), anda boleh kata bahawa saya seorang pakar," katanya sambil menambah bahawa peniaga sering bertemu dengannya untuk menyampaikan rungutan.

Ketika tiba di bilik gerakan, dia berkata, polis membenarkannya masuk dan mendapati ada Santhara sedang mengadakan sidang media.

Prabakaran berkata bahawa dia menunggu dengan tenang sehingga sidang media berakhir sebelum berjumpa timbalan menteri itu.

"Tetapi timbalan menteri tidak memberikan kerjasama dengan saya, tidak menerima rungutan saya.

"Saya tidak tahu mengapa, mungkin dia terlalu tertekan akibat PKP. Mereka meminta saya untuk meninggalkan pusat kawalan," katanya.

Buat sidang media hari ini

Beliau menjelaskan bahawa dia mematuhi arahan itu, dan kali ini, dia kecewa.

"Sekiranya saya sebagai MP tidak dilayan dengan baik, bagaimana dengan orang biasa?" soalnya.

Prabakaran ingin membuat siaran langsung Facebook di luar pusat kawalan tetapi diberitahu ia tidak dibenarkan, justeru meninggalkan kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri WP, Edmund Santhara

Kemudian ketika membuat video langsung di tempat lain, polis menghampirinya mengatakan Santhara ingin bertemu dan apabila tiba di bilik kawalan, Prabarakan diberitahu polis bahawa mereka menerima arahan untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Prabakaran mengatakan bahawa dia berada di sana selama sekitar empat hingga lima jam dan keterangannya diambil.

Santhara pula berkata dia akan mengadakan sidang media hari ini untuk menjelaskan perkara itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa kawasan perumahan di sekitar pasar borong Selayang telah diletakkan di bawah PKP yang diperketatkan (PKPD).

Kawat berduri telah dipasang dari pintu masuk pasar borong berhampiran bulatan kuil Batu Caves hingga ke pangsapuri Sri Murni.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob kemudian mengesahkan bahawa lapan kawasan sekitar pasar borong telah terjejas dan PKPD akan berterusan sehingga 3 Mei.