Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sultan Kelantan dukacita tak dapat tarawih berjemaah dengan rakyat'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih berjemaah bersama rakyat pada bulan Ramadan, tahun ini.

Baginda dalam kenyataan oleh Pengelola Istana Kelantan, Nik Mohd Shafriman Nik Hassan bagaimanapun berharap, rakyat Kelantan dapat menunaikan solat berjemaah di rumah bersama keluarga masing-masing dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

"Baginda turut menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat bersama rakyat tahun ini untuk berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di masjid seperti tahun-tahun lepas, sungguh pun demikian baginda mengharapkan agar seluruh rakyat jelata tetap menunaikan solat tarawih berjemaah di rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan media, di Kota Bharu, hari ini.

Kenyataan itu kata Mohd Shafriman, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT susulan perkembangan semasa situasi kes Covid-19 yang makin berkurang.

Bagaimanapun baginda menegaskan, pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) amat penting dalam memastikan penularan Covid-19 dalam komuniti dapat dikawal dan diputuskan.

Sebagai rekod sehingga semalam Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merekodkan tiada pertambahan kes di negeri itu sejak empat hari lalu, manakala jumlah kes sembuh meningkat.

Malah jumlah pesakit yang masih dirawat di hospital hanya lapan orang berbanding jumlah keseluruhan kes seramai 155 kes.

Sementara itu tambah Mohd Shafriman, baginda sultan juga mengampun perkenan supaya peruntukan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk program bersama baginda pada bulan Ramadan disalurkan kepada asnaf yang terkesan dengan PKP.

"Maik juga perlu meneruskan penyaluran bantuan-bantuan kepada rakyat di seluruh negeri sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa," jelasnya.