'DG Hisham tak terbang di awan tapi adiwira selamat negara'
Rata-rata warganet menamakan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebagai adiwira mereka kerana menerajui petugas barisan hadapan dalam usaha menangani wabak Covid-19.
Hari ulang tahun kelahiran Noor Hisham dirai oleh warganet melalui berbagai ucapan kreatif yang mencurah-curah di media sosial sehingga ucapan dengan tanda pagar #HappyBirthdayDGHisham berada di tempat kedua, mendapat 7,796 ciapan di Twitter setakat ini.
Semalam, Noor Hisham menyampaikan pesanan supaya rakyat Malaysia terus mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai hadiah hari jadinya.
“Sempena hari jadi saya esok, 21 April, hadiah paling istimewa untuk saya ialah, kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi,” kata beliau dalam satu klip video oleh Bernama.
Menurut seorang pengguna laman sosial, Twitter, Myn Ibrahim, dia berasa kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan Noor Hisham dan pasukannya.
“Saya rasa sangat kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh DG Hisham dan ia menyentuh hati semua rakyat Malaysia.
“Apabila kita mempunyai beliau dan pasukannya untuk melawan pandemik ini, ia seolah-olah memberikan jaminan keselamatan yang kita tidak tahu kita perlukan. #HappyBirthdayDGHisham,” tambah Myn.
Dalam satu ucapan lain, seorang pengguna NiaraHoran berkata Noor Hisham memang patut digelar sebagai adiwira negara kerana berjaya mengawal pandemik wabak Covid-19.
“Dia tak melawan jenayah atau memakai ‘cape’. Dia tak boleh baca fikiran atau terapung.
“Tetapi apabila dunia perlu diselamatkan, dia adalah ‘superman’ kita,” ciapnya dalam satu hantaran di Twitter.
Seorang pengguna dengan kendali akaun Twitter @ThiNaGaraNear turut memberikan ucapan yang bernada sama, mengucapkan terima kasih kepada Noor Hisham kerana turut berjuang bersama-sama petugas barisan hadapan.
“Masih fikir adwira adalah karya fiksyen? Taklah, mereka tak terbang di awan, tapi mereka hidup dalam kalangan kita. Dan saya lebih gemar memanggil mereka sebagai penyelamat.
“Orang yang menyelamatkan seseorang atau sesuatu daripada bahaya atau kesusahan - DG Hisham,” kongsi pengguna itu.
Antara doktor terbaik dunia
Sementara itu, seorang pengguna Twitter yang lain, Ainnnnurrr turut berkata Noor Hisham memang layak mendapat populariti yang dimiliki.
“Jika anda terkenal dengan kualiti yang bagus, rakyat akan lebih menghormati dan mengingati anda.
“Tidak perlu menjadi seseorang yang selalu membuat hantaran di media sosial atau sentiasa mencuba untuk menarik perhatian orang ramai. #HappyBirthdayDGHisham,” ciapnya dalam satu hantaran.
Sebelum ini, Dr Noor Hisham telah dinobatkan oleh rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak Covid-19 di Malaysia.
Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Dr Hasan Abdul Rahman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai