Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan mungkin benarkan pelajar IPT 'balik kampung'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan sedia mempertimbangkan rayuan ibu bapa supaya membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih tinggal di kampus untuk pulang ke kediamanan masing-masing.

Menteri Pertahanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkata hasil pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiada kluster Covid-19 di kampus.

Oleh itu katanya, kerajaan akan mengadakan standard operasi prosedur (SOP) khusus jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke pangkuan keluarga.

"Hasil pemantauan KKM, selepas sebulan mendapati tiada kluster Covid-19 di kampus dan pelajar-pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan Covid-19.

"Mesyuarat bersama KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperhalusi SOP jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing.

"SOP ini penting bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran oleh kira-kira 100,000 pelajar IPT di seluruh negara," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Tak mahu pulang serentak

Pada 13 April lalu, Ismail memaklumkan yang kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pelajar universiti awam dan swasta pulang ke kampung dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ismail berkata, mereka perlu terus tinggal di asrama masing-masing sepanjang tempoh itu, dengan kebajikan makan minum ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Pelajar IPTA, IPTS yang nak kembali (pulang ke kampung), kita putuskan mereka terus kekal di universiti masing-masing.

“Mereka jangan bimbang soal kebajikan, kerana makan minum mereka akan terus ditanggung oleh kerajaan. Harap tidak timbul perkara ini lagi,” katanya dalam sidang harian.

Gambar hiasan, kolej kediaman siswa di Universiti Malaya.

Ismail berkata, kerajaan faham ibu bapa dan pelajar pusat pengajian tinggi termasuk swasta berasa tertekan kerana terlalu lama berada di kolej ataupun kampus.

Katanya, walaupun kemungkinan akan dibenarkan pulang, namun kerajaan akan merangka SOP yang ketat bagi tujuan itu.

Tambahnya lagi, KPT dan KKM akan memperincikan bagaimana prosedur untuk menguruskan kepulangan mereka.

"Kita tak mahu 80,000 hingga 100,000 pulang serentak, mungkin mereka perlu dapatkan saringan kesihatan dulu sebelum dibenarkan pulang.

"KPT dan KKM akan lihat bagaimana nak bantu pelajar tersebut pulang perincian akan kita lihat secara teliti, kalau dibenarkan bagaimana dapat urus kepulangan mereka," katanya.

Sehingga hari katanya, sebanyak 193 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 191 pada hari sebelumnya, yang mana 16,844 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Jelas Ismail lagi, semalam seramai 1,137 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

"Seramai 14,937 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.

"Sejak 18 April, 2,317 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," katanya.