Skip to main
Logo Malaysiakini

Operasi Imigresen di Tambak Johor dipendekkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan memendekkan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi lain di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Tambak Johor dari jam 7 pagi hingga jam 7 petang bermula Jumaat ini.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, berkata jika sebelum ini operasi di bangunan berkenaan adalah 24 jam bagi pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial.

Jelasnya, mesyuarat telah mengambil keputusan untuk mengehadkan operasi JIM dan agensi-agensi berkaitan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, di Laluan Kedua.

"Masa operasi di Bangunan Sultan Iskandar dipendekkan dari 24 jam sebelum ini kepada 7 pagi hingga 7 petang bagi pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

"Bagi Kompleks Sultan Abu Bakar, operasi berjalan seperti biasa iaitu 24 jam, termasuk kenderaan komersial seperti lori dan kargo. Ini supaya kes-kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas.

"Perubahan waktu operasi berkuatkuasa Jumaat ini, 24 April 2020," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan dilanjutkan kepada 28 April ini bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Ekoran itu, pihak berkuasa juga turut memperketatkan kawalan di kesemua pintu masuk sempadan negara bagi memastikan aspek kawalan keselamatan sentiasa terjamin ketika pelaksanaan PKP.

Ismail berkata, sehingga kini tiada kemasukan secara besar-besaran oleh rakyat Malaysia di pintu masuk dari Singapura dan individu yang masuk melalui pintu masuk Johor diwajibkan menjalani kuarantin.

Setakat ini juga 22 pusat kuarantin telah disediakan di Johor, termasuk hotel yang mempunyai 6,000 bilik. Kerajaan juga menyatakan kesediaan menangani kemasukan beramai-ramai sekiranya ada.

Malah kerajaan telah mengarahkan supaya bilik kuarantin tambahan sebanyak 4,000 bilik ditambah dan tidak terhad di Johor Bahru saja, namun melebar ke bandar lain yang berdekatan termasuk Melaka.

"Ramai yang bimbang kemasukan rakyat melalui tambak Johor, berdasarkan laporan Jabatan Imigresen, kemasukan besar-besaran belum lagi berlaku

"Setakat empat hari ini purata (kemasukan) hanya sekitar 400 orang saja (sehari)," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata polis telah menangkap 946 individu semalam kerana ingkar PKP, merangkumi 822 individu yang direman dan 124 individu dijamin polis.

Daripada 946 individu yang ditahan, 433 ditahan di Zon Merah kerana ingkar arahan PKP dan daripada jumalah itu 101 individu juga dituduh di mahkamah semalam.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 20 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 16,870 individu.

"Meskipun kes positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan, ini tidak bermakna kita boleh leka dalam mematuhi arahan PKP.

"Kerjasama dan kepatuhan semua masih diperlukan dalam usaha untuk memerangi dan memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya.

Tambahnya, terdapat negara yang berjaya mengawal jangkitan Covid- 19 dan melonggarkan PKP mereka yang akhirnya terdapat peningkatan mendadak selepas kelonggaran diberikan.