Skip to main
Logo Malaysiakini

Elak guna polisterin untuk bungkus makanan - Raja Muda Perlis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar pengusaha makanan di negeri ini tidak menggunakan polisterin sebagai bekas atau pembungkus makanan kepada pelanggan.

Baginda sebaliknya mencadangkan pengusaha makanan dan bazar Ramadan dalam talian beralih menggunakan bekas makanan yang boleh dikitar semula atau bahan biodegradasi (boleh urai) seperti kertas, kotak, kertas minyak dan sebagainya mengikut kesesuaian.

“Penggunaan polisterin terutama sebagai bekas makanan bukan sahaja membahayakan kesihatan bahkan ia menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“Diharapkan agar pengusaha makanan terus menyokong usaha ini kerana kita mahu bebas sepenuhnya daripada penggunaan polisterin seperti yang diamalkan oleh beberapa negara maju,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah langkah proaktif perlu diambil segera bagi menghentikan penggunaan polisterin dan usaha ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya kerjasama semua pihak dengan lebih agresif diperlukan untuk sama-sama mendidik masyarakat tentang bahaya penggunaan polisterin terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Untuk rekod, bahan pembungkus polisterin mengandungi unsur karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan manusia.

Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser.

- Bernama