Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengawal keselamatan didakwa 23 pertuduhan jenayah seksual terhadap kanak-kanak lelaki

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengawal keselamatan berdepan 23 pertuduhan jenayah seksual terhadap kanak-kanak lelaki

Tertuduh juga berdepan enam lagi pertuduhan kerana menggunakan kanak-kanak itu untuk menghasilkan video porno.

Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterwoth hari ini atas 23 pertuduhan, termasuk melakukan amang fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, sejak bulan lepas.

Zulkefflee Ismail, 57, didakwa atas tujuh pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap kanak-kanak itu, di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa atas satu pertuduhan memiliki video lucah di dalam telefon bimbit di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, Zulkefflee turut berdepan dengan lapan pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana memiliki video lucah antara tertuduh dan mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan dengan enam lagi pertuduhan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana menggunakan kanak-kanak itu untuk menghasilkan video porno.

Lelaki yang memakai t-shirt berwarna kuning itu juga, berdepan dengan satu lagi pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di beberapa kawasan termasuk di sebuah hotel di daerah Seberang Perai Utara antara 17 Mac dan 7 April lepas.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus itu, Zulkefflee membuat pengakuan bersalah semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya bagi kesalahan melanggar PKP, memiliki video lucah, lapan pertuduhan memiliki video lucah antara tertuduh dan mangsa serta enam pertuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menggunakan kanak-kanak tersebut untuk menghasilkan video porno.

Bagaimanapun, lelaki itu yang masih bujang memohon kesnya dibicarakan bagi tujuh pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap kanak-kanak lelaki tersebut.

Bagi kesalahan melanggar PKP, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan memerintahkan penjara sebulan dikenakan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Bagi hukuman lain, untuk kesalahan yang dilakukan tertuduh mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk serahan dokumen serta fakta hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam Ima Syakira Mohd Salim.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan polis kerana meliwat anak jirannya lebih 20 kali apabila dia membawa kanak-kanak lelaki tersebut keluar berjalan-jalan termasuk bermalam di sebuah hotel bajet di Butterworth sejak bulan lalu.

- Bernama