Skip to main
Logo Malaysiakini

Waktu subuh Kelantan dilewatkan 4 minit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Mufti negeri Kelantan mengumumkan perubahan waktu solat Subuh di negeri itu berkuat kuasa 24 April 2020.

Pengumuman itu dibuat oleh Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad dalam satu kenyataan media, hari ini, selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Sultan dan Yang Dipertuan negeri Kelantan mengampuni perkenan perubahan awal waktu solat Subuh bagi seluruh negeri hendaklah ditambah empat minit daripada waktu solat Subuh yang sedia ada.

"Perubahan ini adalah berdasarkan penggunaan nilai altitud di bawah ufuk bagi permulaan waktu terbit fajar sadiq daripada 19 darjah yang diguna pakai sebelum ini kepada 18 darjah," katanya.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat melalui mesyuarat jemaah ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang memutuskan bahawa perubahan ini hanya melibatkan waktu solat Subuh dan Imsak sahaja, manakala waktu solat fardu yang lain tidak berubah.

"Bagi solat Subuh yang didirikan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diganti (qadha').

"Dengan ini, perubahan waktu solat Subuh bagi negeri Kelantan berkuat kuasa pada 24 April 2020, bersama 1 ramadan 1441 hijrah," jelas Mohamad Shukri.