Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarat lebih ketat apabila Pasar Borong KL dibuka Jumaat ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pasar Borong Kuala Lumpur akan dibuka Jumaat ini dengan syarat lebih ketat di mana pemborong, pekerja dan semua yang terlibat dengan perniagaan di kawasan berkenaan perlu membuktikan mereka bebas daripada Covid-19.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Dahlan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa ia merupakan peraturan baru yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada sesiapa sahaja yang memasuki pasar berkenaan.

Menurut beliau, mereka perlu mengemukakan satu salinan laporan perubatan untuk membuktikan mereka tidak dijangkiti wabak tersebut.

"Ya," kata beliau dalam satu kiriman pesanan teks apabila diminta mengesahkan sekiranya pihak berkuasa tempatan itu menetapkan syarat baru tersebut semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL berkata pemegang lesen dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti di pasar borong itu perlu menjalani pemeriksaan Covid-19 dan disahkan oleh makmal yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Kawasan sekitar pasar borong itu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas 28 orang dijangkiti Covid-19 dan seorang lelaki Myanmar berusia 36 tahun meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Penutupan itu memberi kesan terhadap sebahagian besar pekerja asing dan pelarian Rohingya yang mencari nafkah di pasar berkenaan.

Kawasan yang terlibat adalah sebahagian daripada Pusat Bandar Utara, Taman Sri Murni, Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

Walaupun kerajaan tidak meletakkan pasaran borong itu di bawah PKPD, ia diarah tutup dari 20 April selama dua hari tetapi kemudian dilanjutkan dua hari lagi sehingga 23 April.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt berkata beliau telah memaklumkan kepada ahli-ahlinya, pembekal dan pelanggan mengenai peraturan baru itu.

Wong berkata, 90 peratus daripada pekerja mereka adalah pekerja asing yang diletakkan di bawah PKPD, sekali gus pemborong perlu mendapatkan pekerja ganti dan mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

[Baca berita penuh]