Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Hampir separuh syarikat dikaji perlu 6 bulan untuk pulih’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bersedia untuk membantu kerajaan menyediakan strategi keluar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan meninjau cara terbaik untuk memudahkan operasi perniagaan.

Dalam kenyataan hari ini, Presidennya, Tan Sri Ter Leong Yap berkata walaupun perjalanan ke arah kestabilan dan pemulihan terus mencabar, perniagaan akan mendapat semula momentum jika mereka kekal fokus, dengan sokongan daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu mula menyediakan pelan pemulihan ekonomi untuk menstabilkan dan memulihkan ekonomi serta membantu perniagaan bermula semula,” katanya, sambil menambah kumpulan pemikir ACCCIM, Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) akan mengemukakan Pelan Pecergasan Ekonomi yang komprehensif kepada kerajaan pada minggu ini.

SERC telah menjalankan kaji selidik pada 13-21 April untuk mendapatkan maklum balas daripada komuniti perniagaan mengenai penyediaan strategi keluar pasca PKP termasuk menggariskan langkah jangka sederhana serta panjang bagi memastikan pemulihan ekonomi dan kemampanan perniagaan.

Berdasarkan maklum balas tersebut, ACCCIM mencadangkan beberapa langkah jangka pendek, sederhana dan panjang yang meliputi pengurangan kadar cukai pendapatan untuk syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana, disamping mewujudkan pelan pelaburan kebangsaan yang strategik bagi menjana pelaburan swasta, terutamanya pelaburan langsung domestik.

Katanya hampir separuh daripada 916 syarikat yang dikaji menunjukkan mereka memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih.

Selain itu, katanya hampir 90 peratus daripada perniagaan menjangka persekitaran pasca PKP akan terus mengekalkan persekitaran seperti jarak sosial yang selamat, pemakaian topeng, sanitasi dan lain-lain langkah penting untuk menjaga keselamatan awam.

- Bernama