Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga emas maut ketika kutip buah durian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pekebun durian ditemukan mati dipercayai terjatuh selepas motosikalnya tergelincir ketika warga emas itu sedang mengutip raja buah berkenaan di kebun durian di Sungai Ara, di Balik Pulau semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata mayat lelaki berusia 77 tahun itu dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan kebun itu kira-kira pukul 5.00 petang sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

"Menurut anak kepada lelaki itu, ayahnya keluar dari rumah mereka di Relau pada 2.00 petang untuk mengutip durian di kebun miliknya dengan menunggang motosikal, mangsa dipercayai telah tergelincir akibat jalan yang licin.

"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati jalan di situ hanya boleh dilalui sebuah motosikal sahaja dan keadaannya berlumpur serta basah. Semasa ditemui mangsa mengalami luka di kepala dan telah meninggal dunia manakala motosikalnya rosak pada bahagian depan, belakang, kiri dan kanan," katanya dalam kenyataan, di Balik Pulau malam tadi.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan laporan awal mendapati warga emas itu mati disebabkan masalah jantung.

-Bernama