Skip to main
Logo Malaysiakini

Teruskan gaya hidup hijau lepas PKP - menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup hijau meskipun setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat nanti.

Saranan itu dibuat memandangkan, sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu ekoran wabak Covid-19, terdapatnya perkembangan positif yang menyaksikan pencemaran alam sekitar semakin berkurangan, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Selaras dengan PKP, kita dapati perubahan yang positif telah berlaku, langit semakin membiru dan sungai semakin jernih. Itulah yang dilaporkan di seluruh dunia terhadap fenomena yang sedang berlaku pada waktu ini.

“Justeru, saya menyeru agar rakyat terus mengamalkan gaya hidup hijau, seperti menaiki pengangkutan awam, menggunakan tenaga elektrik di rumah secara efisien, serta mengamalkan aktiviti kitar semula meskipun PKP ini telah berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Hari Bumi 2020, yang disiarkan di Facebook Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) tadi.

 Sekiranya tidak dilanjutkan PKP dijadualkan tamat pada 28 April nanti.

Sejak penguatkuasan PKP pada 18 Mac, rakyat dikehendaki untuk tinggal di rumah, sementara semua perusahaan diarahkan menutup operasi melainkan perkhidmatan penting sahaja.

Kata Tuan Ibrahim, kesan daripada perubahan iklim yang ekstrem sudah mulai dirasai di Malaysia, seperti bencana banjir atau musim kemarau yang berpanjangan, sehingga menyulitkan kehidupan manusia.

Hal itu katanya, berlaku akibat daripada aktiviti manusia, baik secara langsung dan tidak langsung, yang melepaskan gas rumah kaca seperti karbon dioksida yang berlebihan ke atmosfera.

Tambahnya, Kasa akan terus menerajui usaha bagi melestarikan alam sekitar dan menangani perubahan iklim demi kepentingan negara dan dunia sejagat.

“Saya memerlukan sokongan semua pihak, komitmen dan tindakan anda semua sangat penting untuk membantu memelihara dan memulihara bumi tercinta ini.

“[...] Hari Bumi bukan hanya disambut untuk sehari. Ia adalah satu usaha bersama dan berterusan untuk generasi hari ini dan hari-hari yang akan datang,” tambahnya lagi.

Meskipun sambutan Hari Bumi pada tahun ini yang bertemakan ‘Tindakan Menangani Perubahan Iklim’ itu, tidak dapat dilakukan secara besar-besaran ekoran PKP, Kasa tetap menyusun beberapa aktiviti di media sosial.

Antaranya acara khas atas talian Hari Bumi, ceramah Cakna Alam, diskusi perubahan iklim, penganjuran pertandingan poster dan video kreatif serta tayangan filem eko di Klefflix.

Hari ini merupakan ulang tahun ke-50 Hari Bumi, sejak diperkenalkan pada tahun 1970..