Skip to main
Logo Malaysiakini

Pulau Pinang catat FDI paling tinggi berjumlah RM15 bilion

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pulau Pinang mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi dalam sektor pembuatan di negara ini iaitu sebanyak RM15 bilion yang membabitkan 166 projek, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan (domestik dan asing) dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang ialah sebanyak RM16.9 bilion.

Chow berkata, rekod itu adalah berdasarkan kepada laporan pelaburan diluluskan bagi tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dua hari lepas.

"Kedua-dua angka ini merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri kita setakat ini. Ini membuktikan bahawa pelabur asing masih mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ekosistem pelaburan ditawar oleh Pulau Pinang,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook peribadinya, di Georger Town, hari ini..

Menurutnya, walaupun Pulau Pinang tidak memiliki sumber asli tetapi ia mempunyai kemahiran serta tenaga kerja yang menjadi daya penarik kepada para pelabur.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited memastikan ekonomi Pulau Pinang kekal berdaya tahan walaupun berdepan situasi baharu akibat pandemik Covid-19.

- Bernama