Jangan salahkan sesiapa, kata Ebit Lew
Pendakwah bebas, Ebit Lew, sekali lagi tampil membuat permohonan maaf atas kontroversi yang timbul ekoran bantuan yang dihulurkannya kepada sebuah keluarga daif di Kedah, dan meminta tiada mana-mana pihak dipersalahkan.
Mengucapkan terima kasih buat semua pihak yang selama ini banyak membantu keluarga terbabit, Ebit Lew berkata, usahanya itu hanya “setitik” jika dibandingkan dengan pihak lain yang sebelum ini menghulurkan bantuan.
Antara pihak yang sudah membantu ialah Lembaga Zakat Negeri Kedah, kariah masjid setempat, dan jiran-jiran lama keluarga berkenaan.
“Saya pohon janganlah salahkan jiran, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) atau pusat zakat atau mana-mana orang.
"Saya minta maaf pada semua yer. Mereka semua dah bantu banyak sangat. Setitik sahaja usaha saya berbanding mereka semua.
"Saya (baru) urus beberapa orang dah menangis penat. Mereka semua urus seluruh negeri dan setiap pelusuk negeri sepanjang hayat.
"Saya cuma sikit sangat. Saya pohon janganlah salahkan jiran, JKM atau pusat zakat atau mana-mana orang," kongsinya dalam satu hantaran Facebook.
Pak Aq - atau nama sebenarnya Ishak Darus - ialah ketua keluarga daif terbabit.
Dalam hantaran berkenaan, Ebit berulang kali mengucapkan terima kasih buat semua yang terlibat membantu keluarga berkenaan selama ini, dan berulang kali juga meminta maaf kepada semua pihak yang turut terpalit dengan kontroversi yang timbul itu.
Kata Ebit yang memang sinomim dengan kerja amal itu, meskipun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang, dia hanya menginginkan kasih sayang buat keluarga yang dibantunya itu.
Beberapa hari lalu Ebit dibayangi kontroversi selepas melawat sebuah keluarga daif di Derga, Kedah. Antara lain penduduk setempat menjadi kecaman orang luar yang menyangka mereka tidak mengendahkan keluarga terbabit.
Beberapa pihak - termasuk kerajaan Kedah dan Lembaga Zakat Kedah - kemudian tampil menjelaskan keluarga berkenaan memang menjadi penerima bantuan tetap.
Keluarga berkenaan juga sudah dipujuk supaya berpindah ke rumah baru yang disediakan namun gagal.
Dalam hantaran sama, Ebit turut memanjatkan rasa syukur apabila keluarga berkenaan akhirnya berpindah ke kediaman baru yang selesa dari pondok usang dan menyedihkan yang didiami mereka selama ini setelah lebih 15 tahun.
Dia turut mengucapkan terima kasih buat kejiranan baru yang membantunya, termasuklah kerana berbincang mengenai hal persekolahan anak Pak Aq, dan rawatan kesihatan pasangan terbabit.
Di kediaman baru itu, kata Ebit, keluarga berkenaan tidak perlu membayar kos rumah kerana ia akan dilunaskannya.
“Saya insya-Allah bayar selagi (ada) hayat,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai