Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Kelantan sumbang elaun Datuk Bergelar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengumumkan pemotongan elaun bulanan Datuk Bergelar dan disumbangkan kepada pusat khidmat dewan undangan negeri (DUN) Pasir Pekan.

"Saya juga di sini ingin menyatakan untuk menyumbang elaun bulanan Datuk Bergelar saya sebanyak RM1,200 setelah diwartakan kepada Pusat Khidmat DUN Pasir Pekan selama mana berkhidmat sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun)," katanya dalam kenyataan ringkas selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, DUN Pasir Pekan diwakili beliau sebagai wakil rakyat PAS sejak 1995.

Beliau yang juga timbalan mursyidul am PAS merupakan penerima darjah kebesaran bergelar dianugerahkan Sultan Kelantan, yang membawa gelaran Datuk Bentara Kanan.

Difahamkan sumbangan elaun tersebut bagi kegunaan pusat khidmatnya untuk dimanfaatkan kepada rakyat khususnya golongan yang memerlukan.

Dalam perkembangan lain Ahmad berkata, kerajaan negeri memutuskan tiada majlis iftar di semua masjid negeri itu sepanjang Ramadan bagi mengelak orang ramai berkumpul dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Kita akui setiap kali Ramadan ada majlis berbuka puasa di masjid, namun kali ini tiada lagi majlis iftar.

"Makanan juga tidak digalakkan diletakkan di masjid kerana kita tidak mahu orang ramai datang dan berkumpul," katanya.

Sementara itu Kelantan turut memperuntukan RM4.5 juta untuk sumbangan bakul Ramadan kepada golongan yang memerlukan.

Kata Ahmad, sebanyak RM100,000 akan diagihkan kepada setiap DUN bagi membolehkan wakil rakyat membantu golongan asnaf.

"Kita menyambut baik saranan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mahu memastikan semua rakyat dapat berbuka dan bersahur dengan baik.

"Sumbangan bakul Ramadan itu diberi dalam bentuk keperluan makanan sekali gus mampu meringankan beban rakyat," jelasnya.