Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Pakar cadang pesakit tidak kritikal diasing di pusat komuniti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika Malaysia menghampiri kemungkinan sekatan PKP dilonggarkan, seorang pakar kawalan penyakit berjangkit mencadangkan supaya kerajaan meneroka untuk mempersiapkan hospital hanya untuk pesakit Covid-19 yang kritikal.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman mengusulkan pesakit yang berisiko rendah supaya diasingkan di pusat komuniti.

"Mungkin kita dapat mengubah cara kita mendiagnosis dan mengurus pesakit yang berisiko rendah, dan mereka yang berisiko tinggi berdasarkan perspektif kesihatan awam.

"Ada beberapa perkara yang dapat kita lakukan supaya kita tidak perlu terkurung selama 18 bulan sementara menunggu vaksin.

"Kami masih perlu melihat setiap orang yang dijangkiti melalui pemeriksaan dan menjejaki kontak tetapi mungkin kami tidak perlu mengasingkannya di hospital tetapi menempatkan mereka di pusat-pusat komuniti dan mengawasi mereka yang penyakitnya berisiko menjadi parah," katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan untuk bekerjasama dengan sektor kesihatan swasta agar syor ini dapat dilaksanakan.

Dr Adeeba berkata demikian pada telesidang hari ini yang dihoskan oleh institut penyelidikan Refsa.

Vaksin belum ada, makan masa

Kementerian Kesihatan mengaitkan pendekatannya dalam memasukkan ke dalam wad setiap orang yang positif Covid-19 sebagai antara punca penularan virus tidak menjadi lebih buruk.

Hal ini dibandingkan dengan beberapa negara seperti di United Kingdom, yang mana pesakit yang mempunyai gejala ringan dihantar pulang untuk kuarantin sendiri.

Jangkitan baru di Malaysia setakat ini telah menurun menjadi dua digit selama enam hari berturut-turut dan terdapat beberapa jangkaan bahawa hal tersebut akan menyebabkan 'kelonggaran' perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bakal berakhir pada 28 April.

Bagaimanapun, Dr Adeeba memberi amaran bahawa orang ramai tidak boleh lalai dan langkah berjaga-jaga mesti diambil untuk mengelakkan lonjakan kenaikan jangkitan baru.

Ini termasuklah mengelakkan perhimpunan besar-besaran, menjaga kebersihan diri dan mempraktikkan penjarakan sosial.

"Jika tidak, kita akan balik semula ke titik permulaan [...] ingat bahawa virus itu tidak hilang jadi kita masih perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa vaksin akan memakan masa untuk dibangunkan dan tidak akan tersedia dalam tempoh tiga hingga enam bulan ke depan.

Ini kerana vaksin perlu melalui ujian ketat untuk memastikan vaksin tersebut tidak menyebabkan lebih banyak mudarat daripada manfaat.

Sementara itu, Dr Adeeba berkata terdapat keperluan untuk memberi perhatian terhadap penjara yang digambarkannya sebagai "pusat pembiakan sempurna untuk wabak Covid-19."

"Kesihatan di dalam penjara adalah kesihatan awam jadi kita perlu memasukkan pendekatan seluruh masyarakat ini untuk turut sama melibatkan penjara," katanya.

Dr Adeeba berkata satu pendekatan yang telah dilaksanakan oleh banyak negara adalah melalui pembebasan awal tahanan yang melakukan kesalahan kecil.

Jelas beliau, kerajaan juga boleh mempertimbangkan aspek dasar pengurangan mudarat bagi menangani masalah penagihan dadah dengan tidak memenjarakan penagih tetapi sebaliknya menumpukan aspek rawatan dan pemulihan.

Walaupun sukar, tetapi menjaga kebersihan tahanan juga penting, katanya lagi.

Jurucakap Jabatan Penjara sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa pada masa ini terdapat 73,000 penghuni yang diletakkan di tempat yang boleh menampung 52,000 tahanan.

Mengambil kira faktor kesesakan tahanan, kerajaan telah mengubah akademi penjara menjadi penjara sementara bagi mereka yang melanggar PKP.

Bagaimanapun, Dr Adeeba berkata, Malaysia perlu mengubah pandangan bahawa penjara adalah jawapan bagi setiap 'dosa' sebaliknya pihak yang melanggar PKP perlu dihukum dengan denda dan khidmat masyarakat sebagai gantinya.

Mahkamah telah mula mensabitkan hukuman khidmat masyarakat yang ditangguhkan kepada pelanggar PKP yang akan dijatuhkan selepas tamat perintah kawalan ini.

[Baca berita asal]