Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih ramai mangsa hubungi Talian Kasih, NGO puji PSA k'jaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) memuji pesanan khidmat masyarakat (PSA) yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan keganasan rumah tangga.

NGO itu berkata pesanan itu telah menyebabkan lebih ramai mangsa menghubungi Talian Kasih.

“PSA ini berjaya. Statistik Talian Kasih 15999 pada April menunjukkan susulan oesanan itu, lebih ramai mangsa cuba mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut NGO itu, sejak 12 April, apabila menteri kanan kluster kesemalatan Ismail Sabri Yaakob mula menyebut Talian Kasih di televisyen, jumlah panggilan harian yang diterima talian itu meningkat dari kurang 10 kepada kira-kira 40.

Angka itu berdasarkan statistik Talian Kasih yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

WAO menggesa kerajaan, terutama MKN, KPWKM dan polis, untuk terus menguar-uarkan pesanan khidmat masyarakat berkenaan keganasan rumah tangga secara kerap.

“Ini patut diteruskan sewaktu dan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP). Pesanan juga patut memberi jaminan kepada mangsa yang mereka tidak akan ditangkap atau ditahan kerana melarikan diri daripada keganasan yang berlaku di rumah sepanjang PKP,” katanya.

WAO turut menyarankan agar masyarakat sentiasa mendapatkan maklumat melalui kenyataan media atau media sosial tentang arahan perlindungan – seperti Arahan Perlindungan Kecemasan (APK), Arahan Perlindungan Interim (API) dan Arahan Perlindungan (AP) – sepanjang tempoh PKP.

“Buat masa ini, mangsa tidak pasti sama bagaimana API yang dikeluarkan oleh mahkamah atau APK oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh diperolehi sepanjang PKP.

“Kerajaan juga harus memberikan maklumat jelas kepada masyarakat mengenai proses mendapatkan arahan perlindungan sepanjang PKP.”

WAO turut menggesa bilangan operator Talian Kasih ditambah, selari dengan peningkatan panggilan.

“Dengan pesanan itu mula sampai lebih meluas kepada masyarakat, Talian Kasih mungkin menerima lebih banyak panggilan," katanya lagi.

Selain pengumuman Ismail, kata WAO, khidmat pesanan ringkas (SMS) yang pertama kali dihantar pada 20 April turut menyumbang kepada peningkatan mendadak panggilan mengenai keganasan rumah tangga dan hak kanak-kanak.

SMS itu menyatakan kerajaan memandang serius kes keganasan rumah tangga ketika PKP, dan menyarankan aduan dibuat kepada polis atau talian tersebut.

WAO yang menyediakan tempat perlindungan dan kaunseling secara percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan, mengingatkan mangsa bahawa mereka boleh menghubungi Hotline WAO di talian 03-79563488 yang beroperasi 24 jam, menghantar pesanan Whatsapp ke 018-9888058 untuk bantuan dan sokongan, atau Talian Kasih 15999.