Skip to main
Logo Malaysiakini

Wakil rakyat pembangkang gesa wanita Mongolia dilepaskan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei menggesa Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) diketepikan dalam kes dua wanita Mongolia yang didakwa dibawa kes sebuah hotel dan dirogol seorang inspektor polis.

"Kami berterima kasih kepada pasukan polis, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood yang dengan pantas menyelamatkan wanita ini pada 12 April.

"Kami juga bersyukur atas kenyataan jelas OCPD Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal yang menyatakan walaupun mangsa didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mungkin terlibat dalam perdagangan seks haram, dalam kes ini mereka menjadi mangsa dan tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada akan diambil,"kata Maria dan Lim dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pada 11 April, polis menahan seorang inspektor polis kerana disyaki merogol wanita berkenaan pada 10 April. 

Pegawai polis terbabit ditahan dalam satu sekatan jalan raya perintah kawalan pergerakan (PKP) di Petaling Jaya.

Bagaimanapun pada 14 April, tiga wanita Mongolia yang merupakan kenalan mangsa ditahan di bawah Perintah Perlindungan Interim (IPO) selepas mereka membuat laporan polis berhubung dakwaan rogol berkenaan 

Maria dan Lim berkata penahanan lima wanita itu di bawah ATIPSOM masih menimbulkan tanda tanya.

"Majlis Peguam dan 18 NGO telah menimbulkan persoalan tentang penggunaan Atipsom dan bukannya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA ) 2010."

"WPA ini akan menghalang lima wanita ini dari ditahan dalam mana-mana bentuk tahanan dan dari siasatan yang tidak perlu ke atas status imigresen mereka.

"Selain mempertaruhkan kesejahteraan mereka, penggunaan berterusan Atipsom boleh menjejaskan tumpuan kesalahan utama, iaitu rogol ,"kata kedua-dua wakil.

Mereka menggesa IPO di bawah Atipsom diketepikan dan tiga wanita itu perlu dibebaskan.

"Tumpuan harus diberikan kepada siasatan rogol dan mendakwa pelaku tanpa berlengah-lengah.

"Kita juga maklum bahawa Inspektor itu baru-baru ini telah dibebaskan dengan ikat jamin. Jika pelaku yang dikatakan boleh dilepaskan atas jaminan, mangsa dan pemberi maklumat perlu diberi layanan yang sama," kata mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (CID) Fadzil Ahmat mengesahkan kertas siasatan telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya di Shah Alam minggu ini.

Wakil-wakil berkenaan menggesa ketelusan sepanjang siasatan dan mengucapkan penghargaan atas kerjasama pihak polis.

"Sepanjang PKP, sentimen orang ramai terhadap Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat positif. Ramai rakyat mempunyai kesedaran baru tentang kerja-kerja keras polis dalam membuat rondaan dan mengendalikan sekatan jalan raya, tak kira hujan atau panas," kata mereka .

"Kami berterima kasih kepada semua pegawai polis di barisan hadapan dan sekali lagi inginkan IPO di bawah Atipsom diketepikan dan lima wanita Mongolia ini dilepaskan daripada jagaan, WPA digunapakai dan ketelusan (dilakukan) dalam siasatan kes rogol ini."

[Baca berita asal]