Skip to main
Logo Malaysiakini

'Benarkan klinik perancang keluarga dibuka semasa PKP'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kata anggota parlimen Pandan, Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata pembukaan klinik berkenaan akan membolehkan ia memberi perkhidmatan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

"Saya memandang serius kenyataan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan pengoperasian klinik LPPKN  sepanjang tempoh PKP.

"Saya berpendapat perkhidmatan klinik ini amat diperlukan dan keputusan ini patut disemak semula.

"Kinik swasta dibenarkan beroperasi sepanjang PKP. Justeru, saya mencadangkan klinik LPPKN perlu juga dibenarkan beroperasi bagi golongan B40 yang memerlukan perkhidmatannya," kata Wan Azizah yang juga bekas timbalan perdana menteri.

Selain itu, Wan Azizah berkata satu talian "hotline" khusus yang dikendalikan LPPKN perlu disediakan bagi menampung panggilan ke Talian Kasih 15999 yang didapati meningkat sepanjang tempoh PKP.

"Ini adalah penting untuk pelanggan yang tidak mempunyai telefon pintar atau komputer dengan khidmat internet.

"Ini akan membolehkan pelanggan menghubungi pegawai perubatan atau kaunselor yang bertugas walaupun dari rumah untuk mendapatkan nasihat yang diperlukan.

"Ubat-ubatan juga boleh diserah ke rumah pelanggan melalui khidmat penghantaran," katanya.

Semalam, Malay Mail melaporkan NGO FYI KL menimbulkan kebimbangan terhadap pengumuman kerajaan bahawa semua klinik LPPKN akan ditutup semasa PKP.

Portal berita dalam talian itu memetik penyelaras sosial media FYI KL, Nuraini Rudi sebagai berkata berikutan klinik LPPKN menghentikan operasi semasa PKP, inisiatif talian #SembangMalamJumaat juga telah dihentikan.

Nuraini berkata inisiatif dalam talian itu membincangkan topik kesihatan seksual dan reproduktif seperti bagaimana untuk mengetahui jika seseorang mempunyai jangkitan seksual (STI) dan bagaimana mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang semasa PKP.