Skip to main
Logo Malaysiakini

'Negara Asean ada tanggungjawab bersama tangani isu Rohingya'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiap negara di Asia Tenggara mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan "lautan di rantau itu tidak menjadi kubur" buat pelarian Rohingya yang mencari perlindungan, kata Amnesty International (AI).

Pengarah Asia Selatan AI Biraj Patnaik berkata, setakat ini hanya Bangladesh yang mengekalkan rekod positif dalam memberikan perlindungan kepada pelarian etnik itu, yang disifatkannya sebagai golongan yang kehilangan tempat tinggal dan mangsa kepada penindasan.

"Semua negara di rantau (Asia Tenggara) mempunyai tanggungjawab untuk memastikan lautan tidak menjadi kubur kepada golongan yang mencari perlindungan.

"Bangladesh tidak boleh dibiar sendiri dalam menangani situasi itu. Hakikat bahawa negara itu menjalankan tanggungjawabnya tidak boleh menjadi alasan untuk (negara) yang lain mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada minggu lalu, AI menggesa kerajaan Malaysia dan Thailand segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat terhadap pelarian Rohingya yang masih berada di lautan pada masa ini.

Kenyataan itu susulan laporan tidak kurang 20 orang Rohingya mati selepas kapal yang dinaiki ratusan pelarian etnik itu hanyut selepas gagal menuju ke Malaysia.

Reuters melaporkan seramai 382 orang lagi berjaya diselamatkan dan akan dihantar semula ke Myanmar.

Pada masa sama, terdapat laporan berkenaan sindiket menyeludup warga asing, termasuk daripada etnik itu, ke Malaysia. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) baru-baru ini telah menahan dua warga Myanmar yang disyaki terlibat.

Menurut Bernama, APMM berkata dua lelaki itu ditangkap susulan maklumat yang diperolehi daripada sekumpulan 202 etnik Rohingya yang ditahan di perairan Langkawi kerana cuba memasuki negara pada 5 April lalu.

'Komuniti antarabangsa perlu bantu Bangladesh'

Dalam pada itu, Patnaik berkata pandemik Covid-19 yang melanda dunia tidak patut dijadikan alasan bagi kerajaan untuk melepaskan tanggungjawab terhadap pelarian.

"Kita harap Bangladesh akan terus mengalu-alukan pelarian Rohingya dalam waktu sukar ini.

"Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa Bangladesh dalam tugas ini, termasuk menyokong usaha mewujudkan pusat kuarantin dan menyediakan bantuan perubatan segera kepada pelarian yang memerlukan, untuk pulih semula selepas perjalanan dan melindungi mereka daripada penularan Covid-19," katanya.


Abim desak masyarakat antarabangsa bantu etnik Rohingya


Etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar dan terdapat banyak laporan berkenaan penindasan terhadap mereka oleh kerajaan negara itu.

Myanmar menafikan dakwaan tersebut tetapi berkata kumpulan itu bukan etnik pribumi, sebaliknya berhijrah dari Asia Selatan.

Akhir tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague memulakan perbicaraan dakwaan penghapusan etnik ke atas Myanmar, dengan pemimpinnya Aung San Suu Kyi turut dipanggil memberi keterangan.

Terdapat lebih satu juta etnik Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh, majoriti mereka dihalau dari Myanmar setelah tindakan keras tentera susulan pemberontakan pada 2017.