Skip to main
Logo Malaysiakini

WHO beri amaran ‘Covid-19 akan bersama kita untuk masa lama'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL l Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada kebanyakan negara bahawa mereka masih berada pada fasa awal pandemik Covid-19 dengan jangkaan virus itu akan terus ada dalam tempoh yang panjang.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sebahagian negara yang menyangkakan jangkitan koronavirus berada dalam keadaan terkawal, dilaporkan mengalami peningkatan kes.

Bahkan, katanya, ketika ini, ada beberapa negara dilihat menarik pelaksanaan perintah berkurung.

"Kebanyakan negara masih lagi di peringkat awal epidemik. Dan ada juga beberapa yang terkesan pada awalnya akibat pandemik, sekarang ini mula memperlihatkan kebangkitan semula kes.

"Jangan buat kesilapan. Kita masih ada masa yang panjang untuk tempuhi. Virus ini akan bersama dengan kita untuk jangka masa panjang," katanya pada sidang media virtual di Geneva.

Malah kata Ghebreyesus, pandemik itu tidak akan berakhir pada bila-bila masa dalam masa terdekat.

Amaran itu dikeluarkan WHO susulan terdapat banyak negara yang kini baru berada di peringkat awal 'pertempuran' meskipun kadar kematian dunia akibat wabak itu melepasi 180,000 kes.

Pandemik itu bukan hanya mencetuskan darurat kesihatan, malah menggugat ekonomi dunia sehingga menjejaskan perniagaan, kehilangan jutaan pekerjaan dan juga mengakibatkan berjuta-juta orang kebuluran.

Beliau turut menegaskan, agensi kesihatan PBB yang mengisytiharkan kecemasan global pada 30 Januari lalu melaksanakan langkah berkenaan tepat pada waktunya.

Ia membolehkan kebanyakan negara melakukan persiapan dan merancang bagi tindakan yang sewajarnya.

WHO menerima kecaman yang teruk dari Amerika Syarikat yang mengkritik cara menguruskan pandemik itu, bagaimanapun Ghebreyesus tidak mengendahkan cadangan menggesanya meletakkan jawatan.

“Kebanyakan epidemik di Eropah Barat kelihatan stabil atau menurun.

“Walaupun angka positif baru menurun, kita dapat melihat peningkatan trend kes di Afrika, di kawasan tengah dan selatan Amerika dan di bahagian Eropah Timur,” katanya.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.