Skip to main
Logo Malaysiakini

Maria Chin saran wujudkan majlis kecemasan bagi persiapan pasca PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menyarankan supaya kerajaan mewujudkan majlis kecemasan yang berfungsi menjamin kesinambungan hidup golongan miskin bandar, warga asing dan pelarian bagi masa jangka panjang apabila berlakunya keadaan seperti perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, sekiranya majlis kecemasan itu diwujudkan, negara boleh bersiap siaga menangani masalah ekonomi yang dihadapi selepas tempoh PKP tamat.

“Saya rasa ini bukan hanya untuk bantu miskin bandar, pekerja warga asing,  dan pelarian. Tapi pada masa ini, kerajaan perlu ada emergency council yang mana kita boleh rancang apa kita boleh buat.

“Kita hendak merancang sekarang dan bukan hanya (ketika) Covid-19 datang, baru kita rancang, dan ia perlu penyertaan daripada NGO.

“Juga kita kurangkan cabaran untuk perniagaan-perniagaan, syarikat, pekerja, tak kira warga Malaysia atau warga asing atau pelarian, (kita) perlu ada rancangan (dari) sekarang,” katanya ketika bual bicara atas talian menerusi Facebook mengenai 'Suara penghuni flat dan PPR'.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai cadangan jangka masa panjang untuk menjamin kehidupan golongan berkenaan ketika penguatkuasaan PKP, memandangkan ramai daripada mereka terjejas dari segi ekonomi berikutan pelaksanaan tersebut.

Turut sama dalam bual bicara tersebut merpakan Pengerusi Gabungan Desa Mentari, Akazillah Din dan moderator, Anna Har.

Maria juga berkata perbincangan bersama pelbagai pihak harus diadakan bagi merancang bagaimana perniagaan boleh diteruskan mengikut fasa sekiranya PKP dilanjutkan dalam tempoh lebih lama.

Maria berkata beliau pernah menemui empat warga asing yang tinggal serumah terpaksa berkongsi sepaket mi segera kerana tidak mampu untuk membeli gas memasak.

“Bila kerajaan kata mereka (kerajaan) beri bantuan, saya harap mereka akan juga bagi bantuan kepada bantuan ini (kepada), warga asing, pelarian dan mereka yang dalam keadaan kemiskinan kerana wabak Covid-19 ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata walaupun Petaling Jaya dianggap sebagai bandaraya yang agak maju tetapi bandar tersebut masih menumpukan kepada isu kemiskinan yang kebanyakan penduduk tersebut berada di kawasan seperti Desa Mentari, Kampung Lindungan dan Lembah Subang.

“Apa yang penting bila kita (negara) ada Covid-19 ini, cabaran sangat besar kepada golongan ini (B40),” katanya.