Skip to main
Logo Malaysiakini

Lapan lelaki didenda RM800 keluar berjudi semasa PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lapan lelaki didenda RM800 atau penjara sebulan setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di Port Dickson selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar berjudi.

Buruh kasar A Selvam, 45, penyelia ladang M Gunatibhan, 35, dua pemandu lori P Surian, 42, dan M Loganathan, 48, pemandu bas R Murugan, 49, serta tiga penganggur, R Balan, 55, R. Nehru, 49, dan R Thilipkumaran, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati melakukan aktiviti berjudi di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang Salak Siliau, pada 7.15 malam, Isnin lepas.

Kesemua mereka didakwa di bawah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Loganathan dan Nehru turut didenda RM800 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh membayar denda itu. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama