Skip to main
Logo Malaysiakini

PBT pantau 1,009 kilang di Johor sepanjang PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Johor akan terus memantau operasi 1,009 kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata sebilangan besar sektor perkilangan di negeri ini sudah mula beroperasi berikutan kebenaran yang diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Jelasnya, jumlah terbabit adalah melibatkan 821 kilang yang mendapat kebenaran MITI dan 188 kilang lagi beroperasi dengan kebenaran daripada MTIB.

“Secara keseluruhan dengan jumlah ini, dijangkakan seramai 75,000 pekerja yang mana 70 peratus daripadanya adalah warga asing yang akan bekerja dalam tempoh PKP dikuatkuasakan.

“Melihat daripada kepentingan perkara ini, PBT di Johor akan menjalankan pemeriksaan terhadap setiap premis kilang yang dibenarkan beroperasi untuk memastikan kawalan terhadap penyakit menular ini tidak berlarutan.

“Pemeriksaan ini juga adalah untuk mengawal tempoh operasi kilang hanya seperti ditetapkan yang telah diperuntukkan oleh pihak PBT Johor iaitu bermula jam 8 pagi hingga 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Ayub berkata, kesemua pengusaha kilang perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan sosial, kebersihan dan kawalan pergerakan pekerja.

Menurutnya, memandangkan sebilangan besar daripada pekerja adalah warga asing pengusaha kilang yang terlibat perlu sentiasa membuat pengawasan atau menyediakan keperluan pengangkutan bagi mengelakkan pekerja ini melanggar PKP.

“Selain pergerakan, keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan tahap kesihatan kesemua pekerja ini sentiasa berada dalam keadaan terbaik, justeru kerjasama daripada pengusaha kilang amat diperlukan bagi memeriksa juga tahap kebersihan kediaman pekerja asing ini.

“Justeru, dengan pelaksanaan dan SOP yang telah diberikan, semua pihak terutama pengusaha kilang dapat memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian wabak berbahaya ini,” katanya.

Beliau menambah sekiranya didapati ingkar, pengusaha kilang ini boleh dikenakan tindakan diberhentikan operasi oleh PBT selain permit beroperasi akan ditarik semula daripada pihak MITI mahupun MTIB.

- Bernama