Skip to main
Logo Malaysiakini

Ekonomi meningkat sepenuhnya menjelang Q3 2020 - MIER

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kegiatan ekonomi negara termasuk perdagangan dan pelaburan dijangka meningkat sepenuhnya menjelang suku ketiga 2020 (Q3 2020) dan seterusnya mengukuh pada 2021, demikian menurut unjuran senario terbaik oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Bagaimana pun, pengerusinya, Dr Kamal Salih berkata bagi andaian senario sebaliknya, pengeluaran dan perdagangan diunjur meningkat semula namun pada kadar 96-98 peratus menjelang Q4 2020 dan tempoh memasuki Q1 2021.

“Bagi kedua-dua senario itu, kami mengambil kira Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan kerajaan berjumlah RM260 bilion dengan mengandaikan hanya 20 peratus daripada suntikan bukan fiskal (RM225 bilion) akan direalisasikan dalam bentuk modal baharu di segenap ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Laporan Unjuran Ekononi Nasional MIER 2020/2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Kamal berkata MIER mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020 akan berkembang pada 3.8 peratus berbanding 2019 atau -0.29 peratus daripada garis dasar 2020 dan sejajar dengan jangkaan Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia.

"Sebaliknya, mengikut senario terburuk MIER, KDNK benar dijangka menguncup satu peratus berbanding 2019 dan -4.9 peratus berbanding garis dasar 2020,” katanya.

Sementara itu, MIER menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus tumbuh pada 2021 sekitar 4.3 peratus hingga 5.2 peratus dalam kedua-dua senario atau dari segi nilai benar masing-masing 8.23 peratus dan 4.1 peratus lebih tinggi berbanding paras 2019.

"Sejajar dengan suntikan modal teknologi baharu dan peningkatan pengeluaran, wujud ruang bagi pertumbuhan KDNK lebih besar pada 2021 sekiranya pandemik COVID-19 ini dapat dibendung di Malaysia dan dunia, terutamanya dalam rantau perdagangan Malaysia,” katanya.

- Bernama