Skip to main
Logo Malaysiakini

Petugas barisan hadapan diharuskan buka jika tak mampu puasa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Petugas barisan hadapan boleh menggantikan puasa di kemudian hari sepanjang bulan Ramadan berlangsung sekiranya tidak mampu menunaikan ibadah tersebut.

Menurut menteri agama, Dr Zulkifli Mohamad, petugas barisan hadapan boleh melakukan ibadah puasa mengikut kemampuan.

“Diharus buka jika tak mampu untuk melakukan puasa sehari.

“Jika khuatir sekiranya jejas fokus dan kemampuan bekerja, puasa boleh diganti hari kemudian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau juga mengingatkan petugas barisan hadapan tidak lupa untuk bersahur walaupun sesibuk mana mereka.

“Pada sahur itu ada barakah. Anda perlu kuat untuk kami, demi negara,” tambahnya.

Pengumuman tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia akan berlangsung malam ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Sementara itu, Zulkifli juga turut menyarankan agar masyarakat di Malaysia meneruskan amalan bersedekah seperti selalu mengikut kebiasaan baru.

“Encik Ali boleh tempah Nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Auntie Tan boleh tempah KFC, sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah Nasi Kerabu, sedekahkan kepada Uncle Muthu.

“Sedekah boleh dilakukan melalui Grab Food, dalam talian dan sebagainya. Ambil alamat, cara yang mudah untuk bersedekah ataupun boleh terus kepada sasaran,” tambahnya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.