Menteri WP minta maaf pada penduduk Selayang
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memohon maaf kepada penduduk di Taman Sri Murni, Selayang yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) kerana pengagihan bantuan makanan yang tidak mencukupi sebelum ini.
"Saya minta maaf pada penduduk-penduduk di sini kerana dua hari pertama agihan dibuat tetapi ada sedikit kekurangan dari segi jenis barang dan taburan kesampaian.
"Sebab data baru dapat, nombot unit (rumah) baru dapat. dan barang juga sampai berperingkat-peringkat
"Barang yang baru sampai barangkali beras, minyak, gandum...
"Makanan akan diberikan sekurang-kurangnya dua kali hantaran cukup tujuh ke sepuluh hari," katanya pada sidang akhbar di pusat perintah PKPD di Pasar Borong Selayang hari ini.
Annuar berkata akan memastikan semua penduduk mendapat bekalan makanan mencukupi, terutamanya ketika umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan esok.
"Sebab bila say aperiksa tadi, ada beras, ada minyak, ada gandum (tapi) lauk tak ada.
"Esok dah nak puasa," katanya menjelaskan bantuan esok akan memfokuskan pemberian beras dan lauk dalam tin dan bentuk sejuk beku.
Jelasnya, butiran bancian enam blok perumahan yang dikenakan PKPD sejak Isnin lalu melibatkan 17,000 penduduk terjejas di 3,200 unit rumah. Daripada jumlah ini, katanya lagi, 1,500 unit rumah dihuni warga negara Malaysia.
Kediaman di sekitar pasar borong Selayang di Kuala Lumpur diletakkan di bawah PKPD sejak Isnin lalu, ia melibatkan kawasan berhampiran bulatan di kuil Batu Caves sehingga lah ke pangsa puri Sri Murni
Terdahulu, terdapat laporan menyebut penduduk di situ mengadu bantuan makanan yang diwar-warkan pihak berkuasa belum tiba ke rumah mereka.
Dalam pada itu, Annuar hari ini berkata kerajaan memutuskan bahawa bekalan makanan akan diberikan dalam dua penghantaran, masing-masing berlangsung selama tujuh sehingga 10 hari, dengan fokus pada catuan barang makanan kering seperti beras dan makanan lauk-pauk di dalam tin.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai