Skip to main
Logo Malaysiakini

Ingkar PKP: 66 lagi dihumban ke penjara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 66 individu antaranya warga Pakistan dan Myanmar, dipenjara lima hari hingga dua minggu dan denda RM500 hingga RM1,000, selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk membeli makanan, pergi rumah saudara untuk bersembahyang, dan keluar memberi anjing makan.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap antara 13 dan 23 April dan akan dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 50 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar kawasan Sungai Besi, Cheras, Sentul, Masjid India, Kepong dan Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur antara 13 hingga 23 April ini.

Di Mahkamah Majistret Selayang, dua lelaki dan seorang wanita berumur 19 dan 31 tahun masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan, selepas mengaku bersalah ingkar PKP iaitu bergerak dari satu tempat ke tempat jangkitan lain tanpa alasan munasabah.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di Plaza Tol Rawang Selatan, Rawang dan Jalan Melati, Kuang, Gombak antara 2.30 petang dan 3.45 petang, pada 7 April dan 19 April manakala wanita itu keluar rumah atas alasan membeli susu untuk kawan anaknya di Bandar Country Homes, Rawang di Kuala Lumpur pada 9.30 malam, 16 April lepas.

Di Mahkamah Ampang, seramai 21 individu termasuk warganegara Yaman dan Bangladesh serta empat remaja berumur 17 tahun, mengaku bersalah atas kesalahan melanggar PKP.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM500 hingga RM800 atau penjara sebulan terhadap mereka, manakala hukuman ke atas remaja itu ditangguhkan kepada 24 Jun sementara menunggu laporan akhlak.

Kesemua tertuduh yang berusia 17 hingga 46 tahun itu dituduh melakukan kesalahan di beberapa lokasi berasingan di Flat PKNS Ampang, Jalan Pandan, Taman Ukay Perdana, Jalan Besar Lebuh Raya Ampang, Taman Sri Bayu, Taman Kosas, Taman Muda, Taman Melawati, Pandan Jaya, di sini, antara 10.30 pagi hingga 10.45 malam, 14 hingga 17 April lepas.

Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, 15 tertuduh termasuk enam warga Indonesia, Bangladesh, Filipina, Yaman dan Somalia, didenda antara RM700 hingga RM1,000 selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan sama.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh yang antaranya pelajar, perunding perniagaan dan pemasang jubin, dipenjara bermula dari tarikh tangkap mereka, antara 4 dan 19 April lepas dan akan dipenjara antara tujuh hari hingga dua minggu, jika gagal membayar denda tersebut.

Antara alasan yang diberikan tertuduh keluar rumah adalah ingin meminjam wang dari majikan, baru pulang dari tidur di rumah kawan, dan membeli rokok pada jam 2 pagi.

Kesemua mereka yang berusia antara 19 dan 57 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut, di sekitar kawasan Bandar Sri Damansara, Serdang, Putra Heights, Kg Sungai Kayu Ara dan Mutiara Damansara, di Kuala Lumpur antara 4 hingga 19 April lepas.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.