Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada majlis berbuka, solat tarawih bersama rakyat tahun ini - Tengku Hassanal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan, tiada penganjuran majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat sepanjang Ramadan tahun ini, ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, Tengku Hassanal membuat keputusan itu 'dengan berat hati', namun perlu dilakukan mengambil kira keadaan negara yang masih berdepan wabak Covid-19, sehingga PKP perlu dilaksanakan.

"Keputusan ini juga selari dengan saranan Kementerian Kesihatan yang tidak menggalakkan perhimpunan besar atau aktiviti berkumpulan diadakan, walaupun jika PKP yang dijadualkan tamat pada 28 April ini, tidak disambung.

"Baginda juga berharap keadaan wabak Covid-19, tidak akan mengurangkan semangat kita untuk terus beribadah, sebaliknya akan membuatkan kita lebih menginsafi dan mendekatkan diri dengan Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal juga menyeru rakyat untuk menunaikan kewajipan membayar zakat, menerusi kaedah baharu oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), terus mematuhi PKP, menjaga kesihatan dan kebersihan, serta mengamalkan jarakan sosial.

"Baginda juga mendoakan seluruh rakyat Pahang sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera serta Allah melindungi negeri ini daripada wabak, bencana dan malapetaka," katanya.

PKP mula berkuatkuasa pada 18 Mac lalu dengan matlamat memutuskan rantaian wabak Covid-19 dan fasa ketiga perintah itu dijadualkan tamat Selasa depan, manakala umat Islam dijangka mula berpuasa pada esok.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.