Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M: Ramadan uji tahap kesungguhan pertahan rakyat, negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Ramadan kali ini menguji tahap "kesungguhan kita untuk mempertahankan rakyat dan negara."

"Ini kerana jika kita tidak dapat membendung nafsu dan masih mahu menjalani ibadah puasa seperti tahun-tahun yang lalu, kita akan memperjudikan kehidupan rakyat yang lain termasuk diri kita sendiri," kata beliau malam ini.

MP Langkawi berkata demikian pada suatu hantaran video di media sosial mengucapkan umat Islam selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Video itu memaparkan Dr Mahathir sedang duduk menyampaikan perutusan Ramadan dan di samping beliau isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Pada video itu juga, Dr Mahathir berkata umat Islam wajar mensyukuri kedatangan Ramadan kali ini walaupun dalam keadaan berada di bawah PKP bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

"Sesungguhnya setiap hari yang dapat kita lalui adalah suatu rahmat yang besar yang wajib kita bersyukur dengannya.

"Ingatlah ramai yang dijangkiti Covid-19 yang tidak menunaikan ibadah puasa dan dan amalan-amalan lain di bulan Ramadan," katanya.

Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir berkata umat Islam perlu "mengambil peluang di bulan Ramadan ini untuk berkongsi rezeki dan nikmat" kepada golongan yang memerlukan.

"Yakinlah pengorbanan yang kita lakukan itu adalah kecil berbanding dengan pengorbanan mereka yang perlu berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kelangsungan kehidupan kita semua.

"Saya percaya jika kita sama-sama meredai keadaan ini, Insyaalah kita akan dapat menjalani ibadat puasa dengan sempurna dan kita kemudiannya akan sambut Syawal dengan penuh kesedaran dan kesyukuran," katanya lagi.

Beliau juga mengambil maklum cara umat Islam melalui bulan Ramadan kali ini berbeza berbanding dahulu.

"Dan kita tidak pernah lakukan sepanjang hayat kita.

"Banyak tradisi dan ibadah tertentu yang terpaksa kita batal kerana dihalang kemungkinan dijangkiti Covid-19.

"Ini kerana terdapat sekatan terhadap perjalanan, hubungan dan juga pergaulan yang biasa berlaku.

"Antara yang terpaksa kita hentikan adalah berbuka puasa berama-ramai dan sembahyang tarawih secara berjemaah, kita juga tidak dapat membeli juadah yang enak di pasar-pasar Ramadan," katanya menambah Ramadan kali ini menuntut kesabaran dari godaan nafsu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.