Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib: Saya tak hipokrit isu Rohingya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Najib Razak mendakwa kenyataannya diputar belit semua portal untuk membina persepsi bahawa beliau hipokrit berhubung isu Rohingya.

“Saya bukan hipokrit. 

"Kerajaan BN semasa saya sudah banyak membantu Rohingya,” kata bekas perdana menteri.

Beliau berkata, perhimpunannya dianjurkannya bersama PAS ketika mengetuai kerajaan dahulu bertujuan mendesak kerajaan Myanmar memberhentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya.

“Kita tak buat perhimpunan untuk suruh semua pelarian Rohingya untuk datang ke Malaysia.

“Tahukah perbezaanya?” soalnya.

 Menurut Najib, pada ketika itu kerajaan jelas mengatakan bahawa usaha Malaysia dalam menangani isu pelarian Rohingya dibuat atas dasar kemanusiaan dan mengikut budi bicara.

"Tapi kita tidak boleh bagi isyarat yang Malaysia terbuka, siapa-siapa hendak masuk, boleh masuk.

"Tiada siapa yang boleh menuduh Malaysia tidak pernah buat apa atau berlaku zalim dalam isu pelarian Rohingya ini," katanya.

Kecam PBB

Najib juga turut mengecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kurang membantu menangani isu pelarian Rohingya ini.

"Apa dilakukan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR)? Apa fungsi mereka? soalnya.

"Kini, lima tahun sudah berlalu.

"Adakah Asean dan PBB hanya terdiri dari Malaysia sahaja?

"Sampai bila Malaysia perlu pikul tanggungjawab ini secara bersendiri? soalnya.

Oleh itu, Najib berkata badan bukan kerajaan (NGO) berhenti menekan Malaysia, sebaliknya mendesak PBB dan UNCHR untuk turut bertindak sama dalam menangani isu pelarian Rohinya ini.

Selain itu Najib juga turut menegur pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia.

Menurut Najib etnik minoriti Rohingya di negara ini perlu menghormati undang-undang Malaysia dan sensitif dengan sentimen serta kebimbangan rakyat dalam penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Ya, mereka pernah bantu, tetapi mereka juga perlu membantu mereka sendiri dengan menghormati undang-undang dan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

"Kita tak boleh membenarkan dua bot itu mendarat di Malaysia kerana kita tak mahu tragedi yang lagi besar berlaku," katanya.

Najib berkata sekiranya Malaysia menerima kemasukan dua bot yang membawa pelarian Rohingya ke dalam negara sudah tentu Malaysia akan menjadi tumpuan utama pelarian etnik itu.

"Bila ini berlaku maka lagi ramai nyawa Rohingya akan terjejas atau terkorban semasa perjalanan bot yang amat bahaya ini.

"Tahukah kamu bahawa puluhan penumpang bot telah terkorban nyawa sebelum dua kapal itu sampai ke perairan Malaysia?

"Seramai satu juta etnik Rohingya kini berada di sempadan negara Bangladesh dengan Myanmar.

"Bayangkan berapa lagi bot-bot lagi yang akan cuba berlayar ke Malaysia jika dua bot pertama dari kem-kem di Bangladesh itu berjaya mendarat dan diterima oleh Malaysia? soalnya.

‘Perlu realistik’

Kata Najib dalam situasi ini dan pada masa krisis Covid-19 ini, adakah lagi baik bagi mereka untuk tidak menggalakkan lebih ramai pelarian Rohingya untuk cuba melarikan diri ke Malaysia, soalnya.

"Nak kecam Malaysia sebagai zalim kerana tak terima dua bot itu? Okay.

"Nak putar-belit bahawa Najib hipokrit dan tak mahu bantu Rohingya lagi? Fine.

Bagaimanapun, Najib berkata semua pihak perlu sedar akan implikasi dan tragedi kepada rakyat di negara ini.

"Tapi kamu perlu sedar apakah implikasi dan tragedi kepada mereka yang hampir pasti akan berlaku jika tanda isyarat bahawa bot-bot pelarian akan diterima oleh Malaysia tanpa syarat pada masa Covid-19 ini.

"Kita perlu realistik dan peka kepada apa yang akan terjadi.

"Adakah korang hendak bertanggungjawab jika lagi ramai etnik Rohingya kehilangan nyawa mereka semasa melarikan diri ke Malaysia pada masa kini? tanya Najib.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.