Skip to main
Logo Malaysiakini

Remaja bertongkat dakwa diheret ke balai dalam but kereta polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang remaja di Sungai Petani, Kedah, mendakwa bahawa dirinya dikasari oleh lima anggota polis yang menanhannya atas alasan melanggar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak koronavirus di negara ini.

Menurut kumpulan NGO, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) semasa ditahan, Ahmad Radhi Bashizan, 19, yang bergantung pada tongkat untuk berjalan, diarahkan untuk masuk ke dalam but sebuah kereta peronda polis.

Remaja itu terpaksa menahan kesakitan dan mengadu sesak nafas semasa berada di dalam but kereta polis tersebut, kata EDICT dalam satu kenyataan, hari ini.

“Beliau memaklumkan kepada anggota polis yang menahannya bahawa beliau baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian kaki kiri dan telah dimasukkan besi.

“Beliau juga memberitahu anggota tersebut bahawa beliau masih dalam proses pemulihan, yang mana atas nasihat doktor, kakinya tidak boleh menampung beban dalam masa dua bulan.

“Anggota-anggota polis tersebut tidak mengendahkan kata-katanya. Mereka terus menggari beliau. Mereka menyuruh pemuda tersebut bersama seorang lagi yang ditahan untuk masuk ke dalam but kereta sebuah kereta peronda polis,” kata EDICT.

Dari pondok polis itu, Ahmad Radhi kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, yang terletak lebih kurang 20 kilometer jaraknya.

Semasa di IPD Kuala Muda, dia tidak mengaku melakukan sebarang kesalahan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dengan syarat akan hadir ke mahkamah pada 29 April ini.

Menurut EDICT, remaja itu mendakwa bahawa semasa melalui pengalaman perit itu, dia ada merayu untuk menggunakan tongkatnya untuk berjalan namun ditolak oleh pihak polis.

Beliau terpaksa berjalan sendiri dalam kesakitan dan kesukaran yang juga berkemungkinan akan memberi kesan pada kecederaannya.

Difahamkan, Ahmad Radhi telah membuat laporan polis di Sungai Petani semalam, dengan membekalkan nombor badan anggota polis yang menahannya itu.

EDICT sehubungan itu, meminta polis bertindak segera terhadap anggota tersebut.

“EDICT ingin mengingatkan anggota polis bahawa mereka bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang dan kesihatan orang yang ditahan seperti yang termaktub di bawah seksyen 3 dan 20 Akta Polis 1967, juga seperti mana yang telah diputuskan oleh mahkamah.

“EDICT menggesa Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin agar mengambil tindakan yang tuntas dalam menghukum anggota-anggota polis yang melakukan kesalahan sebagaimana tindakan yang diambil terhadap orang awam,” kata kumpulan NGO itu.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Kedah Zainuddin Yaacob berkata bahawa beliau akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan berkenaan.