Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar pulang guna kenderaan sendiri tak boleh rentas negeri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan swasta yang terkandas di kampus dan ingin pulang ke kampung halaman dengan memandu kenderaan sendiri perlu mendapatkan kebenaran polis serta perjalanan itu tidak boleh merentas negeri.

Pelajar juga perlu mendapatkan surat kebenaran dan hanya soerang bagi setiap kenderaan dibenarkan.

"Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan.

"Sebelum membuat perjalanan, mereka perlu mendapat surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis yang berhampiran," kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Ismail mengumumkan bahawa pelajar IPT dan IPTS dibenarkan pulang bermula 27 April ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata pergerakan itu akan diatur dengan ketat, dan buat masa ini para pelajar hanya dapat kembali ke zon hijau jika mereka tidak tinggal di zon merah pada masa ini.

Zon hijau adalah kawasan yang bebas jangkitan Covid-19, sementara zon merah adalah kawasan dengan 41 atau lebih kes Covid-19.

Waktu perjalanan juga dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran.

Justeru, pilihan lain bagi pelajar yang ingin pulang ke rumah mereka yang berada di zon hijau dan perlu merentas negeri adalah dengan menaiki bas.

Jelas Ismail, pelajar yang terlibat akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng muka.

Kapasiti penumpang dalam bas pula akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Pelajar kemudian akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah mereka dan kemudian anggota agensi kerajaan yang ditugaskan akan menghantar mereka ke rumah masing-masing.

Bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak pula, penerbangan pulang ke negeri masing-masing akan disediakan oleh kerajaan. Mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka dan diwajibkan kuarantin 14 hari.

Jelas Ismail lagi, pelajar yang memilih untuk terus berada di kampus akan disediakan makanan dan minuman seperti biasa.

"Pengumuman selanjutnya dan lebih terperinci mengenai pergerakan pelajarakan dibuat oleh pihak KPT.

"Bagi pelajar di IPT di bawah kawal selia kementerian lain seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, proses penghantaran pulang perlu mengikuti SOP yang ditetapkan," katanya.

Sejak tujuh hari lalu, angka jangkitan Covid-19 harian di Malaysia menurun kepada dua digit, dengan lebih 60 peratus telah pulih.

Bagaimanapun, kerajaan melanjutkan PKP buat kali ketiga, iaitu sehingga 12 Mei ini.

Pakar sebelum ini memberi amaran bahawa penamatan sekatan terlalu awal dapat mengakibatkan peningkatan semula jumlah jangkitan.