Skip to main
Logo Malaysiakini

RMK-12 perlu disusun semula ekoran Covid-19 - menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan mungkin perlu membuat beberapa penyusunan semula terhadap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) susulan impak krisis Covid-19 kepada ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, RMK12 dirangka ketika ekonomi di tahap yang baik, bagaimanapun wabak Covid-19 telah menjejaskan banyak perkara, termasuk ekonomi dan pendapatan negara, sejak sebulan lalu.

“Rancangan dibuat ketika ekonomi baik, tahun lepas baik, tahun sebelumnya iaitu 2018 juga agak baik. Jadi, kita kena buat penjajaran semula.

“Ketika saya masuk (menjadi menteri) kira-kira enam minggu lalu, RMK12 sudah hampir lengkap. Tapi dengan keadaan sekarang, pendapatan (negara) terjejas.

“...Jadi kita kena semak semula beberapa andaian yang dibuat ketika menyiapkan RMK12 beberapa bulan lalu ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi telesidang anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menerusi aplikasi Zoom, dan dikelolakan oleh ketua pegawai eksekutif Ideas, Ali Salman.

Mustapa berkata, selepas krisis Covid-19 berakhir, masa diperlukan untuk syarikat kembali pulih, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kembali dapat bertapak, dan untuk mengembalikan keyakinan pelabur.

Beliau turut membangkitkan kemerosotan dahsyat harga minyak global ekoran pandemik itu, yang menjejaskan pendapatan Malaysia yang memang bergantung kepada komoditi itu sejak tiga dekad lalu, dalam bentuk cukai, duti dan dividen.

Katanya, pada masa ini 20 peratus daripada pendapatan negara adalah hasil minyak, yang merupakan peratusan yang besar.

“Sudah tentu ini akan beri impak kepada pendapatan kita,” katanya, merujuk harga minyak dunia yang masih rendah kini.

Pada 20 April lalu, penanda aras harga minyak mentah global di Amerika Syarikat, West Texas Intermediate bagi Mei jatuh ke paras negatif iaitu -AS$37.63 setong.

Dua hari kemudian, harga minyak Brent jatuh ke tahap terendah sejak 1999, pada kadar AS$15.98 setong.

Ia susulan penawaran di seluruh dunia melebihi permintaan selama beberapa bulan akan datang, dan pengurangan pengeluaran tidak dapat mengimbangi lebihan tersebut.

“Ramalan perkembangan ekonomi untuk Malaysia bagi tahun ini dan tahun berikutnya agak baik, tapi apabila Covid-19 datang kita berdepan situasi sukar dan perkembangan negatif.

“Apabila perkembangan negatif, akan ada kutipan cukai dan dividen yang kurang daripada Petronas, dan banyak lagi implikasi lain,” katanya lagi.

Ditanya berkenaan kewajaran menjual aset negara bagi menampung peruntukan untuk pemulihan ekonomi, Mustapa membangkitkan dua pendapat berkenaan perkara itu.

Menurutnya, ada yang menganggap kerajaan wajar mencairkan aset jika memerlukan wang, manakala ada yang merasakan aset berkenaan perlu dikekalkan sementara menunggu nilainya meningkat sebelum dijual.

Katanya lagi, pandangan peribadinya pula ialah kini bukan masa sesuai untuk menjual aset kerajaan, sama ada dalam bentuk tanah, saham atau lain-lain.

"Tak bagus (untuk jual) buat masa sekarang, kerana harga rata-ratanya rendah dan kita takkan dapat harga yang baik untuk apa-apa (aset) yang ingin kita jual,” katanya.