Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga ahli sindiket dadah guna khidmat kurier ditangkap

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tindakan sindiket pengedaran dadah menggunakan khidmat kurier untuk menghantar bahan terlarang itu ke Malaysia Timur (Borneo) membawa padah apabila tiga ahli mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka yang ditahan berusia antara 24 dan 37 tahun, termasuk seorang wanita warga Vietnam, selepas pemeriksaan dilakukan di sebuah syarikat kurier di Jalan Tandang, pukul 3.20 petang.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan itu, serbuan dilakukan di tiga lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang dan menemukan 9,304 gram (g) pelbagai jenis dadah bernilai RM181,790.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pada 10 malam tadi, kita berjaya memberkas seorang lelaki tempatan di kawasan Sungai Way bersama dadah dipercayai jenis ketamine seberat 1,000g dan 800 biji pil disyaki Erimin 5 disembunyi di dalam alat pembesar suara yang telah diubah suai.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang wanita warga Vietnam di Kawasan Bukit Jalil, dekat sini bersama beberapa jenis dadah antaranya ketamin, eremin dan ekstasi dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 7,784g,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata susulan penahanan dua suspek terbabit telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di kawasan Taman Klang Utama, dekat sini.

“Hasil pemeriksaan, kami menemukan enam paket plastik lut sinar yang disyaki dadah jenis syabu seberat 300g. Selain itu, kami merampas wang tunai pelbagai mata wang, barang kemas dan bongkah emas dengan jumlah rampasan bernilai RM 335,189,” katanya.

Nik Ezanee percaya terdapat ahli sindiket terlibat yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

- Bernama